KHOO Kay Kim. FOTO Arkib NSTP
KHOO Kay Kim. FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


JALAN SEMANGAT di Petaling Jaya, kini dikenali sebagai Jalan Professor Khoo Kay Kim.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penamaan semula nama jalan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan akan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, ia sebagai mengenang segala jasa dan bakti tokoh Sejarawan Negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 28 Mei lalu.

“Pemergian mendiang meninggalkan legasinya sebagai seorang nasionalis dan patriot khususnya pembabitan mendiang dalam merangka Rukun Negara, sebagai suatu usaha mengembalikan keharmonian negara pasca peristiwa 13 Mei 1969.

“Sebagai seorang sarjana sejarah, sumbangan besar mendiang adalah di dalam pembentukan historiografi Malaysia pada abad 19.

“Karya-karya utama mendiang seperti The Western Malay States 1850-1873: The

Effects of Commercial Development on Malay Politics menjadi kanun dalam penulisan sejarah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, mendiang juga seorang intelektual awam yang aktif memberikan

pandangan mengenai politik dan isu-isu berkaitan pembinaan negara bangsa dan juga bidang yang sangat diminatinya iaitu sukan bola sepak.

Selain itu katanya, kerajaan negeri menetapkan bahawa semua papan tanda jalan di Selangor akan menggunakan Bahasa Melayu sahaja.

“Ini selaras dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 / 1967.

“Perihal ini turut mendapat perhatian Tuanku yang memberi titah dan nasihat agar kerajaan Selangor memartabatkan Bahasa Melayu dengan menetapkan hanya Bahasa Melayu digunakan dalam papan tanda rasmi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan.

“Pendirian kerajaan adalah selaras dengan komitmen Pakatan Harapan (PH) yang komited mempertahankan beberapa teras utama perlembagaan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, Hak Istimewa Orang Melayu, Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Berita berkaitan

Khoo Kay Kim meninggal dunia [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 12:21 PM