SETIAP topik dan cabaran semasa rakyat Malaysia turut dibincangkan (gambar hiasan).
SETIAP topik dan cabaran semasa rakyat Malaysia turut dibincangkan (gambar hiasan).
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PERTUBUHAN Kebudayaan PUSAKA, dengan kerjasama Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia), bakal memulakan sebuah usaha ilmiah, Projek Bina Bangsa bagi membawa erti lebih mendalam mengenai pembentukan Malaysia.

Menerusi inisiatif itu, 10 naskhah buku bersiri akan diterbitkan yang memberi tumpuan kepada penerokaan asas pembentukan negara sekali gus menjadi tanda aras pembentukan negara ini.

Ia bakal menyediakan bahan penting untuk pendidikan masyarakat dan perbincangan yang lebih luas mengenai sejarah Malaysia, baik hari ini mahupun di masa hadapan.

Usaha murni itu diketuai Eddin Khoo, seorang penulis, penyelidik budaya yang juga anak kepada sejarawan terkemuka negara iaitu mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Antara topik yang diketengahkan adalah Rukun Negara, Kesatuan Malaya, Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Pembentukan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan dan Kongres Kebudayaan Kebangsaan, Undang-Undang Melaka, Perjanjian Pangkor, Enakmen Tanah Rizab Melayu 1913, Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020.

Khoo berkata, sejak akhir-akhir ini, kesedaran dan minat untuk meneroka sejarah semakin berkembang dalam kalangan rakyat Malaysia.

MENDALAMI asas pembentukan sebuah negara (gambar hiasan).
MENDALAMI asas pembentukan sebuah negara (gambar hiasan).

Justeru, kata Khoo, menerusi usaha sebegini, PUSAKA berharap untuk membawa khalayak ramai meneroka sebuah renungan yang bermakna dalam mendalami asas pembentukan sebuah negara.

"Kami menekuni usaha untuk terus menyampaikan sejarah, naratif persekitaran, perkaitannya dengan keadaan semasa.

"Turut disertakan tujuan setiap topik berbangkit dalam suasana malar dan juga cabaran semasa yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam sebuah masyarakat yang majmuk dan rumit," katanya.

Menurut Khoo lagi, ekoran dari pandemik Covid-19 juga, penyatupaduan sosial yang lebih utuh adalah mustahak.

"Untuk itu, usaha untuk menggabungkan aspirasi asal dan meneroka tunjang penubuhan negara adalah satu langkah penting dalam mendukung usaha penyatupaduan sedemikian," katanya.

Semua buku terbabit akan diterbitkan secara berperingkat bermula Ogos hingga Disember tahun ini dan boleh didapati di kedai buku terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, pihaknya percaya pembabitan dalam perkhidmatan perlindungan.

Kata Zakri, sebagai ahli korporat di Malaysia, ejen insurans juga boleh memainkan peranan penting dalam mengukuhkan pelestarian negara melalui perpaduan.

"Sejarah Malaysia yang menakjubkan selalu sahaja tidak dihargai sepenuhnya.

"Buku teks untuk pembelajaran di sekolah hanyalah sekadar memberi gambaran ringkas mengenai perjuangan getir perwira negara dalam mencapai kemerdekaan.

PENYATUAN sosial yang lebih utuh diperlukan (Gambar hiasan).
PENYATUAN sosial yang lebih utuh diperlukan (Gambar hiasan).

"Sedangkan maklumat dan sejarah yang dilupakan itu mampu menyemai sifat bangga pada masa sama membantu memupuk semangat perpaduan negara tanpa mengira bangsa mahupun agama," katanya.

Jelas Zakri lagi, memang wujudnya keperluan untuk menyemai minat terhadap sejarah dan memupuk sifat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama kepada generasi muda.

"Saya begitu teruja dengan usaha sebegini dan Allianz Malaysia juga bangga bekerjasama dengan PUSAKA dalam mencapai impian berkenaan," katanya.

Sementara itu, selain daripada penerbitan buku, Projek Bina Negara juga bakal menerbitkan siri video dan sesi perbincangan dalam talian berkisar 10 topik utama seperti yang dirancangkan

Pendekatan itu bertujuan untuk menggalakkan pembabitan generasi muda, pelajar, kumpulan sivil, pengamal media, wakil masyarakat, serta memperluas jaringan wacana dan renungan terhadap sejarah Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:30 AM