NORA sambut Aidilfitri sederhana.
NORA sambut Aidilfitri sederhana.
Syanty Octavia Amry


MELIHAT kehidupannya yang agak mewah, pasti ramai menyangka Nora Danish seorang yang boros dan mahukan kesempurnaan.

Namun janganlah menilai pada luaran, sebaliknya kenali lebih dekat isi hati dan watak sebenar seseorang itu. Walaupun berkahwin dengan lelaki berada, Nora tidak pernah lupa diri, malah sehingga ke hari ini masih mengamalkan sikap bersederhana dalam apa juga perkara yang dilakukan.

Begitu juga dengan persiapan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Nora yang bakal beraya di rumah baru tidak suka pembaziran.

Baginya, bersederhana lebih baik, malah ia sudah diamalkan sejak dulu selepas pemergian bapa tercinta, Mohd Danish Hanif ketika Nora baru berusia 12 tahun.

“Walaupun bakal menyambut Aidilfitri di rumah baru tahun ini, saya tetap bersederhana saja. Tidak ada yang terlebih atau melebih-lebih, baik dari segi persiapan atau perhiasan.

“Saya menukar apa yang perlu saja seperti kain langsir, lain-lain itu mana yang masih elok saya pakai saja,” katanya. Nora berkata, walaupun akan beraya di rumah baru, berkunjung ke rumah ibunya tetap menjadi keutamaan.

“Setiap tahun adalah wajib untuk saya beraya di rumah emak dan emak mentua. Biasanya hari raya pertama kami akan berkumpul bersama-sama di situ.

“Kawan-kawan yang hendak datang beraya pun saya suruh datang ke rumah emak saja kerana rumah baru tidak ada makanan pun. Di rumah emak semuanya ada dan memang meriah dengan adik-beradik dan saudara-mara,” katanya.

Selain tidak berlebih-lebih dalam perhiasan, Nora juga tidak memerlukan pakaian raya yang banyak. Pada saya cukuplah tiga pasang saja untuk hari raya pertama hingga ketiga. Lagipun berpakaian terbaik pada hari raya itu disunatkan dalam Islam,” katanya.

Mengulas perkembangan seni sepanjang Ramadan ini, Nora berkata, dia lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga selain menghadiri jemputan majlis berbuka puasa.

“Bagi saya Ramadan adalah waktu untuk berehat selain dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Lagipun drama lakonan saya bertajuk Iman sedang ditayangkan di saluran Astro Oasis, jadi saya hanya fokus untuk mempromosikan drama berkenaan saja. Saya juga turut sibuk mempromosikan baju raya di bawah jenama saya iaitu OwlbyND.

“Insya-Allah selepas Aidilfitri nanti saya akan kembali sibuk di lokasi untuk beberapa drama bersiri,” katanya.

BERAT Nora turun 8 kilogram.
BERAT Nora turun 8 kilogram.

BERAT TURUN 8KG, HARAP TAK NAIK LAGI

Mempunyai suami yang suka memasak pastinya menyukarkan bagi sesiapa saja untuk kekal langsing. Begitu juga dengan Nora, selepas melahirkan anak kedua, Mohamed Neqayl Nedim, beratnya diakui sukar turun.

Apatah lagi suaminya, Nedim Nazri seorang yang rajin memasak, secara tidak langsung menjebak Nora menjadi seorang yang suka makan.

“Selepas bersalin saya rasa berat memang susah turun. Untuk memastikan saya betul-betul dapat kembali berat asal sebelum bersalin, saya perlu mengawal pemakanan. Biasanya apabila di rumah saya tidak boleh amalkan diet kerana melihat suami masak pasti saya akan makan.

“Justeru, peluang berada di lokasi penggambaran drama saya gunakan untuk berdiet dan syukur berat saya turun sebanyak lapan kilogram dalam masa sebulan,” katanya.

Walaupun lega sudah dapat kembali berat badan asal, Nora tetap perlu mengawal pemakanan supaya tidak terbabas.

“Selain perlu mengawal pemakanan, saya juga turut mengamalkan beberapa produk yang pernah saya buat dan ia berkesan.

“Memang rasa lega sangat-sangat kerana berjaya kembali ke berat asal, tetapi saya perlu meneruskan diet supaya berat tidak naik semula. Selepas Aidilfitri saya akan kembali ke lokasi penggambaran dan peluang ini saya harap dapat digunakan sebaiknya untuk memastikan berat badan saya kekal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 5:30 AM