SYAFIQ KYLE
SYAFIQ KYLE
Ramlah Zainal


WATAK Ustaz Adam dalam drama bersiri Nur bukan saja memberi impak mendalam kepada penonton, malah semakin mengukuhkan nama pelakonnya Syafiq Kyle.

Malah, selepas berlakon dalam Nur, dia banyak ditawarkan watak sebagai ustaz.

“Saya bermula dengan watak baik dalam drama bersiri Tanah Kubur dan sekarang dikenali dengan watak Ustaz Adam pula.

“Ramai peminat yang fikir dan harap saya adalah Ustaz Adam di luar drama sedangkan saya bukanlah baik sangat macam Ustaz Adam,” katanya.

Menurut Syafiq, impak watak Ustaz Adam juga membuatkan dia mendapat maklum balas secara berdepan daripada peminat.

“Nur adalah satu-satunya drama lakonan yang orang beri maklum balas secara berdepan dan bukannya di laman sosial. Setiap saat saya melangkah, orang akan memanggil saya dengan nama Ustaz Adam dan Nur. Drama Nur 1 memberi impak lebih besar pada saya tapi Nur 2 pula banyak ditonton bukan Melayu.

“Ada pemandu Grab beritahu isteri keduanya berubah jadi baik selepas menonton drama Nur 2. Saya juga pernah dikecam dalam lif kerana ada orang yang tidak puas hati dengan watak Pak Haji dalam cerita Nur 2,” katanya.

Mengulas perancangan untuk mengangkat drama Nur ke pentas teater pula, kata Syafiq, ia masih dalam perbincangan.

“Pengarah, Abang Shahrulezad memang ada beritahu saya mengenai perkara itu tetapi ia hanya cadangan saja. Sebagai pelakon, saya mahu mengetahui apa tujuan Nur diangkat ke pentas teater? Jika pengarah mahu buat sambungan Nur 3 saya juga perlu mengetahui sebabnya?

“Bagi saya, pengarah boleh menggunakan konsep drama Nur itu untuk buat cerita lain yang berbeza,” katanya.

Bagaimanapun, Syafiq mahu berehat seketika daripada watak ustaz kerana mahukan kelainan dalam lakonan.

“Selepas Nur 2, ada banyak tawaran buat telefilem tapi saya putuskan untuk projek lepas raya. Terbaharu, saya bakal terbabit projek filem genre seram thriller arahan Razaisham selepas Aidilfitri nanti untuk Astro Shaw,” katanya.

Mengulas mengenai naskhahnya pula, kata Syafiq, dia tertarik dengan skrip filem itu yang memaparkan cerita mengenai paranormal dan kepolisan.

“Saya juga sanggup menghadiri proses uji bakat kerana mahu mendapat gambaran sebenar watak ditawarkan.

Cerita ini juga lain daripada naskhah yang pernah disajikan pada penonton tempatan sebelum ini ,”katanya.

Sepanjang Ramadan ini, Syafiq juga berehat daripada aktiviti seni kerana memberi tumpuan pada aktiviti yang dirancang selaku duta Setulus Ikhlas, program Ramadan Raya TV3.

Selain itu, dia juga memberi fokus pada perniagaan diceburi dan meluangkan masa untuk diri sendiri serta keluarga pada Ramadan.

Antara lakonannya yang akan ditayangkan ialah telefilem Senafas Rindu. Drama bersiri 20 episod lakonannya Bukan Cinta Aku bergandingan dengan Janna Nick pula akan bersiaran mulai 21 Jun nanti untuk Slot Akasia TV3.

Gara-gara populariti drama Nur, rumah keluarga Syafiq di kampung juga diserbu peminat pada Aidilfitri tahun lalu.

Menurut Syafiq, rumah keluarganya di Negeri Sembilan itu memang menjadi tempatnya berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara pada sambutan Aidilfitri setiap tahun.

“Rumah keluarga saya itu di tepi jalan dan memang menjadi tumpuan orang ramai pada Aidilfitri.

Pada masa masa, ada saudara yang berkongsi cerita saya pulang beraya di kampung di Instagram Story. Oleh itu, rumah saya diserbu peminat tahun lalu.

“Saya tidak kisah soal duit raya cuma apa yang membimbangkan jika persiapan seperti juadah raya tidak cukup untuk menerima kunjungan tetamu terutama peminat yang ramai dalam satu masa,” katanya.

Bagaimanapun, kata Syafiq, dia merancang pulang ke kampung beraya bersama saudara-mara di Negeri Sembilan pada hari raya pertama tahun ini.

“Selepas beraya dengan mereka, barulah saya dan anggota keluarga yang lain kembali ke rumah masing-masing serta beraya di Kuala Lumpur,” katanya.f

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:05 AM