RITA akur tak balik kampung demi keselamatan anak termasuk keluarga
RITA akur tak balik kampung demi keselamatan anak termasuk keluarga
Sudirman Mohd Tahir

ARAHAN kerajaan supaya tiada sebarang pergerakan pulang kampung bagi menyambut Aidilfitri disambut dengan pelbagai reaksi.

Bagi pelakon popular Rita Rudaini, dia bersama dua anaknya Airit Rayyan Rizqin, 11, dan Airit Qaqa Arjuna, 9, terpaksa akur demi memastikan keselamatan mereka anak-beranak termasuk keluarga di kampung.

Rita berkata, sambutan Aidilfitri kali ini adalah sejarah dalam hidupnya apabila buat pertama kali tidak pulang kampung halaman di Kangar, Perlis.

"Setiap tahun saya tidak ketinggalan untuk pulang ke kampung. Malah, anak-anak paling teruja apabila setiap kali Aidilfitri menjelma. Mereka tidak sabar untuk pulang kampung sebab di sana ada ramai kawan iaitu sepupu mereka dan boleh bermain bersama.

"Kali ini, kami tiga beranak beraya di sini saja. Dari awal lagi saya sudah maklumkan perkara ini ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana mungkin tak dapat balik raya. Cuma, ketika itu belum ada arahan tak boleh balik kampung.

"Lagipun mereka tahu negara kita berjuang memutuskan penularan wabak Covid-19. Jadi, apabila arahan terbaharu keluar mereka akur dan faham," katanya.

Rita mengakui tentu saja berasa sedih sebab tidak dapat berkumpul dengan ibu dan adik-beradik.

Malah, suasana beraya di kampung tentunya menggamit memori terutama pada malam raya dan pagi raya.

DUA beradik ini sedondon dalam persalinan koleksi kurta mereka sendiri.
DUA beradik ini sedondon dalam persalinan koleksi kurta mereka sendiri.

"Nak buat macam mana. Kerajaan tak benarkan balik kampung, jadi kita duduk rumah saja. Ada juga mencadangkan untuk saya minta kebenaran di balai polis, tapi apabila fikir balik saya berasakan tak perlu.

"Saya tidak mahu pentingkan diri. Hanya kerana ingin beraya di kampung akhirnya mendatangkan kemudaratan kepada semua. Kita tidak tahu tahap kesihatan macam mana. Di kampung pula ada emak yang sudah berusia. Semua ini perlu diambil kira.

"Sedih memang sedih. Bukan saya saja, tapi orang lain pun sama. Insya-Allah, kali ini saja kita beraya dalam suasana begini. Kalau semuanya kembali pulih, nak buat apa pun, buatlah," katanya.

Rita berkata, sambutan Aidilfitri bersama dua anaknya diraikan secara bersederhana.

"Ini bukan masa untuk kita terlalu bergembira atau meraikan Aidilfitri dalam serba mewah. Kita belum menang dalam menangani wabak ini. Saya cakap pada anak, kita raya biasa saja dan jalani seadanya.

"Kalau tahun sebelumnya beli baju raya, tahun ini pakai apa yang ada. Lagi pun bukan pergi mana-mana. Dalam rumah saja. Juadah raya, apa yang sempat saya masak sendiri. Malah, ada juga yang sudah ditempah awal. Tak berlebih pun. Cukup untuk keluarga kecil saya ini." katanya.

Dalam masa sama, Rita bersyukur apabila koleksi baju raya Ritrud X Hazel habis terjual.

"Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan. Kebanyakan koleksi habis sebelum Aidilfitri. Begitu juga dengan koleksi kurta kanak-kanak The Airits mendapat sambutan menggalakkan. Disebabkan anak suka pakai kurta, jadi tahun ini saya perkenalkan koleksi ini," katanya.

RAYYAN dan Arjuna reda tak dapat balik kampung beraya.
RAYYAN dan Arjuna reda tak dapat balik kampung beraya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 6:30 AM