NANA Tampil dengan lagu ciptaan sendiri bertajuk Terus Mencintai.
NANA Tampil dengan lagu ciptaan sendiri bertajuk Terus Mencintai.
Syanty Octavia Amry


SEBELUM ini penyanyi Siti Nordiana menunjukkan bakat terpendam menulis lirik namun memilih untuk menyanyikannya sendiri.

Kali ini, penyanyi yang mesra disapa Nana itu akan tampil dengan lagu baharu yang akan dinyanyikan bekas protegenya dalam program realiti Mentor iaitu Syamimi Manan.

Berkongsi perkara itu, Nana berkata, memang sudah lama dia mula berjinak-jinak dalam menghasilkan lagu tetapi banyak yang disimpan kerana belum yakin untuk diperdengarkan kepada umum.

“Sudah lama saya simpan lagu-lagu yang dihasilkan hinggalah saya beranikan diri tampil dengan lagu ciptaan sendiri bertajuk Terus Mencintai.

“Mulanya bimbang jika tiada sambutan tetapi selepas itu ramai yang suka dan itu memberi keyakinan menghasilkan lagu buat orang lain.

“Mungkin rezeki Syamimi lagu yang saya ada diberikan kepadanya dan gubahan lagu dibuat oleh penyanyi Aizat Amdan,” katanya.

Berkongsi pemilihan Syamimi sebagai artis pertama syarikat naungannya, Nana berkata, dia nampak anak muda itu sangat berbakat dan mampu pergi jauh.

“Mungkin sesetengah syarikat akan mengambil artis yang sudah ada nama, bagi saya apa salahnya peluang diberi kepada bakat baharu tambahan pula Syamimi bekas protege saya.

“Saya melihat bakatnya dan sayang jika disia-siakan. Saya juga berharap lagu gabungan saya dengan Aizat mampu memberikan sesuatu yang istimewa kepada peminat,” katanya.

Dalam pada itu, Nana berkata, ada beberapa artis berta­nya fasal lagu daripadanya.

“Sebenarnya sudah lama ada artis minta lagu daripada saya tetapi belum yakin untuk berikan kepada mereka.

SYAMIMI.  FOTO: Mohd Yusni Ariffin
SYAMIMI. FOTO: Mohd Yusni Ariffin

“Bagaimanapun, jika mereka masih mahukan lagu daripada saya, insya-Allah saya akan beri dan tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana artis selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nana bakal sibuk dengan penggambaran drama selepas Aidilfitri nanti.

“Buat masa ini saya fokus dulu dengan pembikinan lagu Syamimi dan sepanjang Ramadan saya akan berehat dan menghabiskan masa dengan anak.

“Insya-Allah jika tiada aral saya akan kembali berlakon selepas raya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 5:30 AM