ALTIMET bersyukur hasil jualan tiket sangat memberangsangkan. FOTO Aziah Azmee
ALTIMET bersyukur hasil jualan tiket sangat memberangsangkan. FOTO Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry


TERUJA bakal mengadakan konsert terakhir malam ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Altimet turut gembira apabila lebih 20 rakan artis akan bersama-sama memeriahkan konsertnya itu nanti.

Konsert yang diberi nama The Last Altimet Show itu menampilkan penyanyi seperti Aizat Amdan, DJ Fuzz, Zizi Kirana, Awi Rafael, Adeep Nahar, Aman Ra dan ramai lagi.

Berkongsi perkara berkenaan, pemilik nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad ini berkata, dia gembira apabila teman artis sudi menyanyi bersamanya pada malam itu.

“Pada awalnya ketika jemput mereka menyanyi saya sedikit pun tidak memaksa. Saya hanya kata jika ada kelapangan jemputlah datang jika tidak tak mengapa.

“Saya gembira apabila masing-masing bersetuju dan akan hadir pada malam itu untuk berkongsi pentas menghiburkan peminat bersama saya. Pastinya ia kenangan terindah kerana konsert terakhir daripada saya diserikan dengan kehadiran lebih 20 rakan artis,” katanya.

Altimet berkata, banyak kejutan akan dilakukan pada malam itu dan yang pasti dia mahu membuat penonton menangis.

THE Last Altimet Show menjanjikan kejutan buat peminat yang hadir. FOTO Aziah Azmee
THE Last Altimet Show menjanjikan kejutan buat peminat yang hadir. FOTO Aziah Azmee

“Saya akan pastikan penonton menangis pada malam itu. Saya akan berkongsi perjalanan saya selama lebih 10 tahun bergelar anak seni. Inilah buah tangan terakhir untuk semua peminat yang menyokong saya selama ini,” katanya.

Altimet berkata, pada malam itu dia akan mempersembahkan 20 lagu dalam konsert berdurasi lebih dua jam itu.

Istimewanya pada malam itu dia turut mempersembahkan enam lagu baru yang belum pernah didendangkan kepada peminat sebelum ini.

“Insya-Allah enam lagu baru akan saya dendangkan pada malam ini. Setiap segmen persembahan yang ditampilkan akan penuh dengan kejutan untuk penonton,” katanya.

Bercakap mengenai jualan tiket, Altimet gembira apabila hampir separuh berjaya dijual.

“Pada awal jualan tiket agak perlahan tetapi ramai peminat yang mesej saya dan mereka kata akan beli pada hari konsert.

“Alhamdulillah semakin hampir konsert semakin banyak tiket berjaya dijual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 5:31 AM