BERSYUKUR mempunyai peminat yang hargai bakatnya. FOTO Aziah Azmee
BERSYUKUR mempunyai peminat yang hargai bakatnya. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


PENGALAMAN jatuh bangun dalam dunia seni menjadikan penyanyi Siti Nordiana Alias atau lebih mesra disapa Nana lebih matang.

Malah, enggan terus ‘terlena’ dengan pujian yang kini bertali arus diterima, Nana sentiasa terbuka dengan apa saja kritikan.

Ujar penyanyi lagu Hatiku Milikmu ini, daripada asyik dipuji dia sebenarnya lebih selesa dengan kritikan.

Ditanya mengenai isu ‘suara kemek’ yang dikaitkan dengan segelintir finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33 baru-baru ini, Nana berkata dia tidak terasa hati langsung.

“Bagi saya, pandangan setiap orang berbeza-beza. Begitu juga dengan luahan kritikan, bagi saya itu hanya sekadar teguran.

“Terus terang, saya tiada masalah langsung jika dikritik kerana lebih suka melihat kata-kata itu secara positif.

“Saya tidak terasa hati langsung, apatah lagi nak sentap dengan kritikan itu. Bagi saya, apabila asyik dipuji, sesekali perlu ditegur juga,” katanya.

Menurut Nana yang juga aktif sebagai pelakon, dia sudah lali dengan kritikan yang menjadi pembakar semangat untuk jadi lebih baik.

“Memang tak dinafikan, setiap kritikan dan teguran itu agak kasar dan pedas tetapi percayalah tetap ada kebaikannya.

NANA ambil positif segala bentuk kritikan. FOTO Aziah Azmee
NANA ambil positif segala bentuk kritikan. FOTO Aziah Azmee

“Jadi, terima dengan hati terbuka dan cuba perbaiki setiap kelemahan diri,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasama single duet bersama penyanyi Khai Bahar, ibu tunggal seorang anak ini enggan mengulas lanjut.

“Ikut perancangan, insya-Allah akan ada single itu. Namun, belum masanya untuk diuar-uarkan.

“Apatah lagi, ada beberapa proses yang perlu diambil kira dan semua itu masih dalam perbincangan,” katanya.

Beralih sokongan peminat yang begitu menyanjungi dirinya, Nana mengakui sangat terharu dan berterima kasih.

“Sebagai individu yang pernah jatuh dalam karier ini dan kemudian bangkit semula, ia peluang sangat berharga.

“Ini kerana saya tidak pernah menduga akan kembali diminati dan peminat begitu menghargai bakat saya,” katanya.

Apa yang pasti, tidak lama lagi Nana akan memperkenalkan penyanyi baru pertama yang bernaung di bawah syarikatnya, SND Soul Entertainment.

Memilih memberi peluang kepada anak remaja, Nana berkata artis baru naungan syarikatnya dikenali sebagai Shamimi.

Ujar Nana, Shamimi protege yang disingkirkan ketika Mentor 7 lalu kerana dia memilih Zaaim dan Taufiq.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 5:30 AM