LAKARAN wajah tiga suspek diburu polis, (dari kiri) Lani, Aris dan Siti.
LAKARAN wajah tiga suspek diburu polis, (dari kiri) Lani, Aris dan Siti.
Fardy Bungga


POLIS memburu tiga suspek termasuk seorang wanita, dipercayai ada kaitan dengan kes cubaan rompakan kedai emas yang diletupkan menggunakan bom ikan di Segama, Kota Kinabalu, 31 Disember lalu.

Setakat ini, dua individu iaitu perancang utama kumpulan berkenaan dan seorang lagi yang bekerja sebagai nelayan sudah ditahan pada 2 dan 5 Januari lalu.

Polis turut merampas bahan letupan daripada rumah suspek kedua yang pakar membuat bom ikan menggunakan baja urea dan sodium.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata suspek utama yang ditahan adalah warga asing berusia 22 tahun manakala seorang lagi warga emas berusia 64 tahun.

Katanya, hasil penahanan itu, polis berjaya memperoleh lakaran wajah tiga suspek yang diburu dan dikenal pasti dengan nama Lani, Aris serta Siti.

“Semua suspek yang masih diburu berusia 30-an dan berasal dari negara jiran. Maklumat diperoleh hasil daripada pendedahan siasatan oleh suspek utama.

“Orang ramai yang mengenali tiga individu ini atau mempunyai maklumat berhubung lokasi suspek diminta menyalurkan maklumat kepada polis untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

OMAR menunjukkan lakaran gambar seorang suspek kes letupan kedai emas pada 31 Disember tahun lalu ketika sidang media di IPK Sabah di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Khairull Azry Bidin.
OMAR menunjukkan lakaran gambar seorang suspek kes letupan kedai emas pada 31 Disember tahun lalu ketika sidang media di IPK Sabah di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Khairull Azry Bidin.

Menurutnya, dua suspek yang ditahan di sebuah perkampungan di sekitar bandar raya ini masih direman sehingga 17 Januari untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis percaya kumpulan berkenaan melakukan rancangan di daerah lain sebelum datang ke bandar raya ini untuk melakukan rompakan itu.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, satu letupan berlaku di kedai emas di Segama, disyaki dilakukan sebagai cubaan pecah masuk premis itu berkenaan.

Bagaimanapun, tiada barang kemas dilaporkan hilang selepas penjenayah dipercayai tidak sempat memasuki premis berkenaan selepas pintu dipecahkan.

Akibat kejadian itu, hampir 90 peratus struktur premis menjual barang kemas berkenaan rosak teruk membabitkan siling dan dinding pembahagi kedai.

Berita berkaitan

'Penjenayah guna bahan letupan dari belerang'

'Ingatkan sambutan tahun baru'

'Letup kedai emas, cuba pecah masuk [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 6:30 PM