ANGGOTA Unit Pemusnah Bom PDRM lengkap berpakaian khas kalis bom memeriksa lokasi kejadian letupan yang berlaku di kedai emas di Segama, Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
ANGGOTA Unit Pemusnah Bom PDRM lengkap berpakaian khas kalis bom memeriksa lokasi kejadian letupan yang berlaku di kedai emas di Segama, Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
Norasikin Daineh


BAHAN letupan yang digunakan dalam insiden letupan kedai emas di Segama, Kota Kinabalu awal pagi hari ini, dipercayai daripada belerang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, siasatan sedang dilakukan termasuk mengenal pasti sumber bahan letupan yang digunakan dalam kejadian itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati letupan itu dipercayai jenis ‘low explosion’ yang mana bahan yang digunakan banyak daripada belerang. Bagaimanapun kita masih menyiasat perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas Hari Keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 pagi hari ini, letupan yang memecahkan pintu dan bahagian dalam kedai emas terbabit musnah, disyaki dilakukan sebagai cubaan memecah masuk premis berkenaan.

Mengulas lanjut, Omar berkata, kerugian akibat kejadian itu hanya membabitkan premis sahaja.

“Hasil pemeriksaan tiada barang kemas diletakkan dalam kedai emas itu. Menurut pemilik premis juga, pada sebelah malam mereka tidak meletakkan barang kemas di dalam kedai.

“Jadi dalam hal ini, tiada kerugian membabitkan barang kemas, kecuali kerosakan iaitu pintu kedai dan tempat meletak barang kemas yang pecah. Tiada kerosakan besar pada bangunan juga,” katanya sambil mengesahkan tiada mangsa dilaporkan cedera.

Sementara itu, mengulas mengenai Hari Keluarga yang dihadirinya, beliau berkata, pelbagai aktiviti dijalankan sejak semalam sehingga malam ini seperti senaman aerobik, pertandingan karaoke dan memasak.

“Sebanyak 30 gerai terdiri daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan semua jabatan mengambil bahagian dalam pertandingan memasak di mana masing-masing sibuk menyediakan juadah untuk dipertandingkan,” katanya.

Berita berkaitan

Letup kedai emas, cuba pecah masuk

'Ingatkan sambutan tahun baru'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 12:28 PM