BOT dinaiki lima nelayan yang diserang kumpulan lelaki bersenjata di perairan Segama. FOTO Hazsyay Abdul Rahman
BOT dinaiki lima nelayan yang diserang kumpulan lelaki bersenjata di perairan Segama. FOTO Hazsyay Abdul Rahman
Fardy Bungga dan Hazsyah Abdul Rahman


SEKUMPULAN lelaki bersenjata yang menyerang lima nelayan di perairan Segama, Kinabatangan, Khamis lalu, dipercayai cuba melakukan penculikan atau samun.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain berkata, kumpulan itu dipercayai berasal dari Filipina berdasarkan kedudukan lokasi kejadian berhampiran sempadan kedua-dua negara ini.

Bagaimanapun, katanya, polis percaya penjenayah terbabit bukan anggota militan sebaliknya hanya kumpulan kecil yang terbabit dalam kegiatan samun dan culik.

"Siasatan lanjut masih dijalankan namun kita percaya mereka adalah kumpulan penjenayah yang mahu melakukan aktiviti samun atau culik.

"Tempat kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 11 batu nautika dari Kuala Segama. Setakat ini, belum ada kumpulan dikenal pasti bertanggungjawab," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Semalam, NSTP melaporkan lima nelayan berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka dilaporkan diserang sekumpulan lelaki bersenjata, kelmarin.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, lima nelayan termasuk juragan berusia 19 hingga 48 tahun berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, ketika kejadian seorang suspek mengangkat senjata berat berlaras panjang dan melepaskan satu das tembakan ke kiri bot lalu mengenai dinding.

Sejurus itu, empat mangsa bersembunyi ke ruangan enjin bot manakala juragan meneruskan perjalanan dan pada masa sama, bot suspek dilaporkan mendekati bot pukat tunda sambil melepaskan lagi tembakan.

Siasatan polis turut menemui kesan tembakan di ruang kemudi bot terbabit dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 11:18 AM