Barangan yang dirampas susulan penahanan tiga Geng Leleh.
Barangan yang dirampas susulan penahanan tiga Geng Leleh.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Beri salam sambil ketuk pintu atau membunyikan loceng rumah dan sekiranya tiada jawapan, kumpulan jenayah ini akan memecah masuk sebelum melarikan barangan berharga.

Itu modus operandi digunakan Geng Leleh yang dianggotai empat lelaki bagi melakukan jenayah pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, tiga daripada empat penjenayah itu berjaya ditahan termasuk ketuanya dikenali sebagai Leleh dalam beberapa siri tangkapan di sekitar bandar raya ini bermula 6 hingga 8 November lalu.

Katanya, semua suspek yang giat melakukan kegiatan pecah rumah pada waktu siang itu ditahan di kawasan jejantas Segama, Safma dan Kampung Air.

Menurutnya, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 27 Oktober lalu yang mendakwa rumahnya dipecah masuk dan pelbagai barangan berharga bernilai kira-kira RM60,000 hilang.

"Bertindak dengan laporan polis itu, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menubuhkan task force diketuai Asisten Superintendan Henry AK Laiyau bagi menjalankan operasi mengesan suspek.

"Berdasarkan risikan, polis berjaya menahan tiga suspek Geng Leleh iaitu ketuanya berusia 28 tahun, warga tempatan berusia 40 tahun dan warga asing berusia 28 tahun," katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Polis Khairul Shah Peri.

Mohd Zaidi berkata, dengan penangkapan ketiga-tiga suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 16 kes pecah rumah pada waktu siang di Kota Kinabalu, Luyang, Tanjung Aru, Penampang, Beaufort serta Papar.

"Hasil siasatan mendapati kumpulan ini aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sejak September dan modus operandi yang digunakan mereka adalah dengan berlegar-legar di perumahan mewah dan kawasan berpotensi untuk dipecah masuk.

"Suspek akan menekan loceng rumah dan memberi salam bagi mengenal pasti sama ada rumah terbabit berpenghuni atau tidak sebelum memecah masuk dan melarikan barangan berharga," katanya.

Mohd Zaidi berkata, jumlah keseluruhan kerugian disebabkan kegiatan kumpulan itu dianggarkan RM336,000 termasuk wang tunai RM40,000, barangan kemas, jam berjenama, komputer riba, telefon bimbit, serta peti besi yang menyimpan wang tunai pelbagai mata wang.

"Suspek akan melupuskan barangan yang dicuri dengan cara menjual serta menggadai di kedai barang kemas, pengurup wang serta orang awam di sekitar kawasan Segama dan Kampung Air.

"Setakat ini, polis menahan sembilan individu termasuk empat lelaki dan lima wanita yang kerap membeli barangan curi terutama barang kemas.

"Pekerja kedai pajak gadai dan pengurup wang juga antara yang ditahan serta seorang penyewa yang bersubahat menyimpan barangan curi di tempat tinggalnya serta orang tengah yang berperanan menjual barangan yang dicuri," katanya.

Beliau berkata, pasukan serbuan berjaya merampas beberapa barangan kemas, surat pajak gadai, jam tangan berjenama, komputer riba dan wang tunai RM36,000 termasuk tukaran mata wang asing di kedai pengurup wang ketika penahanan suspek.

Menurutnya, turut dirampas sebuah kereta sewa dan motosikal untuk menjalankan kegiatan pecah rumah.

"Semua suspek yang ditahan turut positif syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 3:32 PM