NUR Natasha Aina (depan tengah) bergambar bersama keluarganya. Gambar kanan, sijil kelahiran Nur Natasha Aina yang tular apabila tempat lahirnya dicatatkan 'dalam perjalanan ke hospital'.
NUR Natasha Aina (depan tengah) bergambar bersama keluarganya. Gambar kanan, sijil kelahiran Nur Natasha Aina yang tular apabila tempat lahirnya dicatatkan 'dalam perjalanan ke hospital'.
Garret Dawum


TEMPAT lahirnya iaitu di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke hospital menyebabkan gadis ini kerap diejek rakan sekelas ketika kecil, manakala baru-baru ini dia menarik perhatian netizen.

Nur Natasha Aina Mohd Azzian, 21, menjadi perhatian netizen selepas dia memuat naik foto sijil lahirnya dengan ruangan tempat kelahiran tertera perkataan ‘dalam perjalanan ke hospital’.

Penuntut tahun akhir Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan itu berkata, ketika di sekolah rendah, rakan sekelas kerap menconteng perkataan lahir dalam kereta pada buku sekolah miliknya.

Namun, dia tidak pernah berkecil hati, sebaliknya hanya membiarkan perkara itu kerana mahu menjaga hubungan dengan rakan.

Selepas foto sijil lahirnya tular dia mengambil pendekatan sama iaitu menerima dengan terbuka jika ada netizen memberikan komen negatif.

“Saya hanya mampu simpan rasa sedih di dalam hati. Apabila sudah tidak dapat menahan rasa sedih, saya akan ke bilik air dan menangis.

“Memang ramai kawan yang ejek tempat lahir saya, tetapi saya buat tidak tahu dan memilih untuk mendiamkan diri saja.

“Sampai ada juga tidak mahu berkawan dan kata saya budak pelik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak mengambil peduli dengan pandangan orang ramai, sebaliknya bangga dengan perkara itu.

“Jika dulu saya selalu diejek dan berasa malu dengan keadaan itu. Namun, sekarang saya patut rasa bangga dan bertuah kerana kejadian itu berlaku mungkin satu dalam seribu. “Memang saya mahu kongsi perkara itu kerana tidak lama lagi saya akan menyambut hari lahir iaitu pada 31 Januari ini. “Sebelum ini saya pernah memuat naik gambar sama, tetapi kali ini ia tular dengan pantas dan menarik perhatian ramai netizen,” katanya.

Dia yang berasal dari Seremban, menganggap adiknya iaitu Nur Natasha Najwa, 17, sebagai istimewa kerana dilahirkan di dalam bilik air di rumah mereka.

“Tetapi maklumat tempat kelahiran tertera pada sijil lahir adik adalah di Hospital Seremban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 10:27 PM