SEBUAH bangunan  dijadikan stesen minyak  beroperasi dalam pasaran gelap menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan tertentu  di  Ma'rib.
SEBUAH bangunan dijadikan stesen minyak beroperasi dalam pasaran gelap menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan tertentu di Ma'rib.
Mohd Aizuddin Akmal Saad

SEIYUN: Sekatan minyak dikenakan terhadap Yaman menyebabkan harga bekalan bahan bakar di negara bergolak itu meningkat beberapa kali ganda berbanding sebelum konflik tercetus.

Bekalan yang terhad dan permintaan tinggi menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual petrol dan diesel pada harga RM10 hingga RM15 seliter di pasaran gelap.

Difahamkan sebelum ini harga petrol di Yaman cuma RM6.50 seliter, namun pengguna yang tidak mempunyai pilihan lain terpaksa membayar lebih.

Kesukaran mendapatkan bekalan minyak dari Yemen Petroleum Company (YPC) menyebabkan stesen minyak haram tumbuh bagai cendawan.

Ketika dalam perjalanan dari Seiyun ke Ma’rib, kenderaan pacuan empat roda dinaiki sukarelawan dalam misi menghantar bantuan kecemasan berhenti di sebuah bangunan usang berhampiran sebuah kem pelarian di pusat bandar Ma’rib.

Bangunan dijaga seorang remaja lelaki itu sebenarnya sebuah stesen minyak rahsia menawarkan petrol dan diesel pada harga yang mahal.

Pemerhatian dilakukan remaja itu dengan perlahan-lahan membuka pintu lalu mencapai nozzle dari pam disembunyikan dalam bangunan berkenaan dan mula mengisi petrol ke dalam tangki kenderaan pacuan empat roda kami naiki.

Terdahulu, remaja berkenaan kelihatan gelisah kerana bekalan petrol dan diesel pasaran gelap itu hanya dijual kepada pemilik kenderaan tertentu.

Selain kenderaan dinaiki kami, pemandu beberapa lagi pacuan empat roda lain menunggu giliran untuk memenuhkan tangki mereka.

Pengerusi Pertubuhan Cakna Yaman Malaysia (Yemen Care) Ustaz Saifullah Hasbu, 31, juga seorang daripada ahli misi berkata, bangunan usang berkenaan adalah antara pam minyak rahsia yang beroperasi di Yaman.

Beliau, mengakui ada banyak lagi stesen minyak rahsia di Yaman berikutan sekatan dikenakan oleh Arab Saudi.

Berdasarkan pemerhatian penulis, stesen minyak milik Yemen Petroleum Company (YPC) lumpuh dengan sebahagian besar terputus bekalan petrol.

Jika mendapat bekalan, stesen minyak berkenaan akan diserbu puluhan kenderaan menyebabkan petrol dan diesel habis dalam masa singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 8:46 AM