PELARIAN, Imtsar Muhammad, 40, bersama lima  anaknya yang menetap di kem pelarian perang Al-Mill. FOTO Mohd Aizuddin Akmal Saad
PELARIAN, Imtsar Muhammad, 40, bersama lima anaknya yang menetap di kem pelarian perang Al-Mill. FOTO Mohd Aizuddin Akmal Saad
Mohd Aizuddin Akmal Saad

Seiyun: Wilayah Hadrawmaut kini dibanjiri masyarakat Yaman yang mahu melepaskan diri daripada tekanan kehidupan seharian akibat konflik di negara itu.

Penghijrahan beramai-ramai pelarian yang berlaku sejak kebelakangan ini menyebabkan jumlah golongan miskin di wilayah berkenaan meningkat secara mendadak.

Pengurus Besar Kementerian Hal Ehwal Sosial dan Buruh Republik Yaman bagi Hadramaut, Abdullah Ramadan Bajham berkata, kedudukan wilayah itu yang di luar zon konflik menyebabkan ia menjadi pilihan pelarian mahu mendapatkan perlindungan.

Beliau berkata, selain ketegangan di wilayah konflik, kesukaran mendapatkan bekalan makanan turut memberikan tekanan kepada pelarian.

ASKAR Yaman membuat pemeriksaan terhadap setiap kenderaan yang menuju ke bandar Ma’rib. FOTO Mohd Aizuddin Akmal Saad
ASKAR Yaman membuat pemeriksaan terhadap setiap kenderaan yang menuju ke bandar Ma’rib. FOTO Mohd Aizuddin Akmal Saad

“Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara dari Malaysia dan Turki kerana bersusah payah datang atas dasar ihsan serta menyayangi saudara Muslim di bumi Yaman ini.

“Sebagai ketua kebajikan wilayah ini saya mengalu-alukan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu membantu.

“Kami membuka seluas-luasnya pintu bagi memudahkan urusan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Yaman,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Operasi bantuan NGO Malaysia itu membabitkan My Hope Hero dengan kerjasama Malaysia Outreach Volunteer Experience, Volunteering Trip Malaysia, Restoran Olive by Ash Sham, Golden Future Foundation dan Yemen Care.

MOHD Aiman  (kiri) bersama Pengerusi Pertubuhan Cakna Yaman Malaysia (Yemen Care), Ustaz Saifullah Hasbu ketika menghidangkan Nasi Mandy untuk pelarian sebagai projek Dapur Kaseh yang bakal dilaksanakan di Jawf. FOTO Mohd Aizuddin Akmal Saad

Sementara itu, Timbalan Presiden My Hope Hero, Mohd Aiman Mohd Amir berkata, bagi pelan tindakan pertama untuk misi bantuan kecemasan Yaman, pihaknya akan mengenal pasti dan mendapatkan maklumat mengenai pelarian.

Mohd Aiman berkata, maklumat berkenaan penting agar bantuan mahu disampaikan sampai ke kumpulan sasar.

Katanya, NGO berkenaan juga berusaha menyelesaikan masalah keperluan asas pelarian seperti makanan dan bekalan air bersih.

“Setakat ini kami membiayai kos penghantaran bekalan air bersih ke kem-kem pelarian dilakukan menggunakan lori tangki.

“Manakala bagi perancangan jangka panjang kami akan lancarkan program Dapur Kaseh Buat Yaman.

“Usaha ini bagi menterjemahkan sumbangan rakyat Malaysia dalam bentuk makanan dimasak di lapangan kemudian diagihkan kepada pelarian di kem sekitar Yaman,” katanya.

SEBAHAGIAN pelarian mengambil bekalan air bersih daripada sebuah lori yang membekalkan bantuan bekalan air bersih sumbangan daripada rakyat Malaysia di kem pelarian perang Al-Mill di pinggir bandar Ma’rib. FOTO Mohd Aizuddin Akmal Saad

Menurutnya, pihaknya juga akan melaksanakan projek pembiayaan mikro bagi membantu pemilik kedai roti sebelum ini gulung tikar meneruskan semula perusahaan mereka.

Jelasnya, pelaksanaan program itu secara tidak langsung membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Akibat konflik dan masalah ekonomi banyak kedai roti terpaksa ditutup. Jadi menggunakan sumbangan rakyat Malaysia kami bantu untuk hidupkan semula ekonomi di Yaman,” katanya.

SEBAHAGIAN kanak-kanak bermain bola sepak di kem pelarian perang Al-Mill. FOTO Mohd Aizuddin Akmal Saad
SEBAHAGIAN kanak-kanak bermain bola sepak di kem pelarian perang Al-Mill. FOTO Mohd Aizuddin Akmal Saad

Wakil My Hope Hero itu berharap penduduk Malaysia prihatin terhadap penderitaan rakyat Yaman menyokong usaha dilakukan dan menghulurkan bantuan menerusi akaun Maybank, 562348566865 atas nama Malaysian Outreach Volunteer Experience.

Sementara itu data Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menunjukkan hampir 22 juta orang atau dua pertiga populasi Yaman memerlukan bantuan perubatan, makanan asas dan air bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 9:00 AM