TINJAUAN di sekitar Rantau Panjang mendapati suasana di stesen minyak lengang sejak pagi tadi susulan pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi yang bermula hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN di sekitar Rantau Panjang mendapati suasana di stesen minyak lengang sejak pagi tadi susulan pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi yang bermula hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim

Rantau Panjang: Pam diesel di beberapa stesen minyak di sini, lengang sejak pagi tadi susulan pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi yang bermula hari ini.

Tinjauan di sekitar Rantau Panjang mendapati suasana di stesen minyak berkenaan jauh berbeza berbanding sebelum ini yang mana kenderaan pacuan empat roda terpaksa beratur untuk mengisi diesel.

Orang ramai hanya berkunjung ke stesen berkenaan untuk mendapatkan petrol dan hanya sebuah kenderaan masuk untuk pengisian diesel dalam tempoh satu jam.

Perkara itu turut diakui pekerja stesen minyak yang memaklumkan pengunjung berkurangan begitu ketara hari ini berbanding sebelumnya disebabkan pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi.

Pemandu kereta sewa yang mahu dikenali sebagai Yahya, 58, berkata, situasi hari ini jauh berbeza kerana sebelum ini seawal pagi kenderaan pacuan empat roda sudah beratur untuk mengisi diesel.

"Hari ini keadaan lengang mungkin disebabkan orang ramai masih terkejut dengan harga baru.

"Pada masa sama, orang ramai juga mungkin sudah mengisi diesel semalam selepas pengumuman dibuat oleh kerajaan.

"Bagi saya yang tinggal di kawasan sempadan, penyelarasan diesel ini ada baiknya juga kerana di sini penggunaan diesel banyak untuk penyeludupan, namun ianya juga masih tidak berjaya mengekang kerana selepas ini mereka akan beralih kepada petrol," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 3:51 PM