DR Mahathir menunjukkan tanda bagus atas persembahan Siti sambil diperhatikan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
DR Mahathir menunjukkan tanda bagus atas persembahan Siti sambil diperhatikan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa gembira serta terharu dengan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada konsert Karya Agung Pak Ngah 2019 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi.

Malah, Siti juga berkongsi hilang segala rasa penat apabila Tun memberikan reaksi ‘thumbs up’ (terbaik) selepas tamat konsert.

“Hilang segala penat apabila melihat reaksi Ayahanda Tun semalam. Terima kasih Ayahanda Tun dan Bonda Tun Siti.

“Terima kasih juga kerana sudi meluangkan masa menghadiri konsert ini. Saya dan seluruh produksi ingin mengucapkan terima kasih di atas kesudian Tun berdua hadir memberikan sokongan walaupun jadual Tun padat dan sibuk.

“Saya sangat menghargai dan gembira dengan kehadiran Tun berdua,” katanya.

SITI sangat menghargai dan gembira dengan kehadiran Tun berdua. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
SITI sangat menghargai dan gembira dengan kehadiran Tun berdua. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Menurut Siti, dia bertuah apabila dapat menyanyikan lagu Allahyarham Pak Ngah yang dikenali sebagai Bapa Irama Malaysia.

”Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada semua yang sudah datang menyaksikan konsert ini dan kita sama-sama dapat menghayati perjuangan arwah di dalam bidang muzik terutamanya muzik tradisional.

“Pastinya, saya bertuah dapat menyanyikan lagu arwah. Semoga yang datang semalam terhibur dan malam ini adalah malam kedua konsert,” katanya.

Pada konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Siti menyanyikan sembilan lagu ciptaan Pak Ngah yang pernah dirakam dalam empat album tradisional Siti sebelum ini.

Antara lagu yang disampaikan adalah Cindai, Balqis, Hati Kama, Nirmala, Jelmakan Ayumu, Kurik Kundi dan banyak lagi.

Selain Siti, Konsert Karya Agung Pak Ngah 2019 turut menampilkan penyanyi Ernie Zakri, Syamel, Asmidar dan Rojer.

Ernie dan Syamel menyampaikan lagu ciptaan Pak Ngah yang pernah dipersembahkan pada teater muzikal seperti Muzikal Rubiah, Muzikal Randai Cinduo Mato, Aladdin dan Puteri Hang Lipo.

Sementara Asmidar dan Rojer pula menyanyikan lagu ciptaan Pak Ngah daripada pentas teater yang dikomersialkan antaranya Laksamana Raja Di Laut, Sulam Sembilan dan Dikir Puteri.

Selain itu, turut disampaikan lagu ciptaan Pak Ngah yang dinyanyikan penyanyi Indonesia antaranya, lagu Puteri Impian nyanyian asal Nassar, Bidadari Jiwa nyanyian asal Danang dan Zapin Melayu nyanyian asal Lesti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:23 PM