PESERTA Mentor 7 (dari kiri), Zaaim, Pasya, Ranisha dan Azmirul. FOTO/ROSELA ISMAIL
PESERTA Mentor 7 (dari kiri), Zaaim, Pasya, Ranisha dan Azmirul. FOTO/ROSELA ISMAIL
Ridzuan Abdul Rahman


Berbulan-bulan lamanya mereka berguru dengan mentor masing-masing bagi menimba ilmu.

Semestinya pelbagai cabaran serta pengalaman pahit manis dilalui sepanjang tempoh itu untuk menyerlahkan bakat masing-masing dalam Mentor 7.

Ada yang berterusan menerima pujian daripada mentor, tidak kurang juga perlu diasuh dan dikritik dengan keras untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Ranisha yang dididik Datuk Syafinaz Selamat, Pasya (Aizat Amdan), Zaaim (Siti Nordiana) dan Azmirul (Hafiz Suip) ibaratnya kini hanya menanti hari esok untuk menyelesaikan misi terakhir masing-masing.

Cuma selangkah sahaja lagi untuk menentukan siapa di antara mereka bakal menjulang gelaran juara Mentor 7.

Hadir menjayakan sesi temu bual dan fotografi eksklusif dengan Bling!, keempat-empat mereka berkongsi perasaan masing-masing mengenai pentas Akhir Mentor 7 yang akan berlangsung malam esok di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.

Ranisha.
Ranisha.

Peserta paling muda dan satu-satunya wanita, Ranisha atau Farranisha Shazwany Mohd Faizul, 18, mengakui perlu berwaspada dengan cabaran tiga peserta lain.

“Saya berbincang dengan Datuk Syafinaz dan sudah mengenal pasti corak serta konsep yang akan ditampilkan dalam konsert akhir ini.

“Saya sendiri pun ada beberapa idea dan apabila dikongsi dengan Datuk, ia kemudian dikembangkan.

“Ada kelainan kerana sebelum ini saya kerap menyanyikan lagu Inggeris dan kali ini saya tampil dengan lagu Melayu pula,” katanya.

Menurutnya, dia berpegang kepada prinsip ketika menyanyi tidak boleh terlalu selesa namun tidak boleh juga terlalu susah.

“Setiap lagu ada cabaran tersendiri. Saya kena fikir lagu yang dapat menarik perhatian penonton agar mereka dapat ikut sama menyanyi,” katanya.

Pasya.
Pasya.

Berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, Ranisha tidak berani meramalkan kemungkinan dirinya mempunyai kelebihan undian penonton dari Borneo sebagaimana situasi peserta pertandingan nyanyian realiti lain.

“Itu terpulang kepada mereka kerana saya tidak boleh paksa. Kalau mereka suka pasti mereka akan sokong.

“Cuma, saya ada bilangan keluarga yang ramai dan mereka penyokong kuat saya.

“Malah mereka melobi orang kampung agar turut mengundi saya selain akan datang menyokong di studio Sri Pentas 2,” katanya.

Menurut Ranisha, dianggarkan hampir 80 anggota keluarganya akan turun padang ke konsert akhir ini.

Sama ada menang atau kalah, Ranisha yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian Idola Kecil 5 pada 2012 berkata, dirinya tidak akan berhenti menyanyi.

“Saya akan sambung belajar di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan akan terus menyanyi,” katanya yang mahu meneruskan legasi seni bapanya yang turut berkebolehan bermain gitar.

Pasya atau Faizul Ashraf Fauzi, 24, memilih membawakan lagu Bohemian Rhapsody daripada kumpulan Queen untuk persembahan akhir.

“Lagu ini sangat eksperimental dan sesuai dengan saya.

 Zaaim.
Zaaim.

“Sepanjang menanti tibanya hari penentuan, tekanan amat dirasai saya.

“Jadual sangat padat dan insya-Allah saya akan berikan yang terbaik nanti,” katanya.

Anak jati Ampang ini aktif sebagai penyanyi jalanan di sekitar Lembah Klang.

“Ini pengalaman terbesar saya menyertai pertandingan nyanyian secara solo.

“Insya-Allah persembahan saya nanti akan dapat sokongan rakan buskers di studio.

“Kami akrab dan saling menyokong,” katanya.

Pasya berkata, penyertaannya dalam Mentor 7 berjaya menaikkan jumlah pengikut laman Instagramnya.

“Semakin lama semakin ramai berbanding awalnya hanya 2,000 pengikut.

“Menang atau kalah nanti saya akan tetap teruskan kerjaya sebagai penghibur.

“Saya jadi seniman jalanan sejak 2007 dan seronok dengan aktiviti ini,” katanya yang berterima kasih kepada Caliph Buskers kerana mengangkat darjat buskers dalam bidang seni.

Zaaim atau Zaaim Abdullah, 28, tidak menyangka penghijrahan dari Alor Setar, Kedah membawa tuah terhadap karier seninya.

“Sudah 10 bulan saya menetap di Kuala Lumpur. Niat asalnya nak cari kerja. Dalam masa sama, saya mengintai peluang mengembangkan bakal dalam bidang nyanyian.

“Alhamdulillah, percubaan dalam Mentor 7 membuahkan hasil,” katanya.

Zaaim berkata, dia pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian lain di ibu kota tetapi gagal mencapat matlamat.

“Bagi saya ini semua rezeki. Saya cuma risau kerana konsert akhir memerlukan kami menyampaikan empat lagu.

“Walaupun bekerja keras, saya kena jaga kesihatan untuk memastikan bersedia sepenuhnya malam esok.

“Nana pun banyak bagi tip agar tahap kesihatan saya berada di tahap terbaik,” katanya.

Azmirul.
Azmirul.

Azmirul atau Muhammad Azmirul Hafiz Azman, 24, dianggap bertuah kerana berjaya menempatkan diri di pentas akhir selepas dua kali terselamat daripada penyingkiran.

Pemuda dari Negeri Sembilan ini teruk dikecam segelintir peminat yang menganggap protege Datuk Syafinaz, Lazarul lebih layak mengisi slot ini.

“Syukur, saya dapat mara ke final dan akan cuba buat yang terbaik.

“Saya pun tak sangka kerana semua peserta menunjukkan persembahan terbaik mereka pada konsert separuh akhir.

“Lazarul pun hebat tapi apakan daya hanya empat peserta yang dipilih ke pentas akhir,” katanya.

Azmirul mengakui terasa hati dengan kecaman yang dilemparkan orang ramai terhadapnya.

“Bohonglah kalau tidak terkesan. Apapun, saya tidak boleh terlalu ikutkan perasaan kerana ia akan mengganggu prestasi saya.

“Justeru, saya akan bekerja keras membuktikan kemampuan sebenar malam esok.

“Saya mungkin dilihat lemah berbanding peserta lain dan saya akan sahut cabaran untuk buat yang terbaik,” katanya.

Azmirul turut mengakui akan menampilkan kelainan dengan mengetengahkan konsep berbeza yang luar dari forte irama Malaysia.

Mentor 7 diacarakan Shuk Sahar dan Nana Mahazan.

Datuk Wah Idris dan Mas Idayu ditampilkan sebagai juri program ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 6:30 AM