SHAH ALAM 18 NOVEMBER 2018. Penyanyi, Siti Nordiana Alias selepas persembahan pada minggu ketiga Konsert Mentor 7 di Sri Pentas 2, Shah Alam Sentral. NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
SHAH ALAM 18 NOVEMBER 2018. Penyanyi, Siti Nordiana Alias selepas persembahan pada minggu ketiga Konsert Mentor 7 di Sri Pentas 2, Shah Alam Sentral. NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
Norhayati Nordin


PENYANYI dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana menepis dakwaan dia tidak serius memikul tanggungjawab sebagai mentor dan mendidik protege di bawah bimbingannya.

Nana, 34, berkata, dia cukup memberi perhatian untuk latihan vokal serta persediaan persembahan buat dua protege bimbingannya iaitu Zaaim dan Taufiq.

"Walaupun jadual saya padat dan sibuk dengan aktiviti seni, saya sedar tanggungjawab besar yang digalas serta tidak pernah mengabaikan keperluan mereka berdua sebagai protege.

"Saya ada menghantar Zaaim dan Taufiq ke kelas vokal termasuk menyewakan studio untuk mereka berlatih dan membuat latihan mempersiapkan diri sebelum persembahan," katanya.

Menurut Nana, dia serius memikul tanggungjawab sebagai mentor, cuma pada masa sama kena akur rezeki adalah ketentuan Yang Esa.

Terdahulu, pada konsert minggu ketiga Mentor 7 yang disiarkan TV3 pada malam Ahad lalu menyaksikan protege Nana iaitu Taufiq diumumkan tersingkir.

Keputusan penyingkiran itu dibuat juri tetap, Datuk Wah Idris dan Mas Idayu kerana kegagalan Taufiq menampilkan persembahan menyerlah ketika menyanyikan lagu Fantasia Musim Cinta.

Nana yang terkilan dengan keputusan itu akur kerana sedar juri lebih arif dalam membuat penilaian persembahan dan keputusan.

Ditanya sama ada dia bersedia 'dikecam' dengan tuduhan belum layak menjadi mentor, Nana berkata, biarlah apa yang orang nak cakap dan baginya tak perlu ambil peduli.

"Saya tak mahu fikir apa-apa pun mengenai tanggapan orang. Biarlah mereka nak cakap apa kerana niat saya untuk jadi mentor di dalam Mentor 7 ini hanya Allah SWT yang tahu.

"Sekarang, saya perlu beri tumpuan untuk ketengahkan bakat sebenar Zaaim. Ini kerana dia (Zaaim) adalah anak didik tunggal selepas Taufiq tersingkir.

"Saya akan berusaha membantu Zaaim untuk dia terus mara bersaing dengan protege lain di pentas Mentor 7 kali ini.

"Apa yang sudah berlaku biarlah berlalu dan saya kini perlu lebih tenang dalam memasang strategi untuk membimbing Zaaim semampu yang boleh," katanya.

Mentor 7 yang ditayangkan di TV3 setiap Ahad, 9 malam menampilkan mentor seperti Nana, Datuk Syafinaz, Aizat Amdan dan Hafiz Suip

Kini, tinggal tujuh protege akan bersaing pada konsert minggu keempat nanti iaitu Lazarul, Ranisha, Pasya, Megat, Zaaim, Azmirul dan Amal.

Sehubungan itu, format pemarkahan persembahan protege merangkumi 50 peratus daripada juri tetap, 30 peratus (undian atas talian di laman web) dan 20 peratus (juri awam di studio).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 12:58 PM