Muhammad Saufi Hassan

KUALA LUMPUR: Empat rakyat Malaysia dipercayai menjadi pemimpin kanan militan Daish di Syria, selepas beberapa individu penting termasuk Ketua Militan Malaysia (KMM) berpangkalan di negara berkenaan iaitu Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, terkorban Julai tahun lalu.

Dua dari mereka ialah bekas gitaris kumpulan Ukays iaitu Akel Zainal dan bekas pengikut kanan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) Mohd Rafi Udin.

Selain itu, dua lagi individu belum dikenal pasti identiti yang hanya dikenali sebagai Abu Gomez dan Abu Zar pula memainkan peranan penting dalam menyebarkan propaganda serta meneruskan usaha pengkaderan di Asia Tenggara.

Akel Zainal atau nama sebenarnya Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, 39, menyertai gerakan militan Daish sejak tercetusnya konflik di Syria beberapa tahun lalu.

Pengarah Pengarah Institut Kajian Strategik Malaysia (MyRISS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, empat individu itu dipercayai memainkan peranan penting termasuk meneruskan usaha menarik orang awam menyertai perjuangan mereka.

Menurutnya, gerakan propaganda mereka tidak pernah terhenti walaupun sokongan terhadap perjuangan kumpulan militan itu semakin menurun susulan kejatuhan beberapa lokasi strategik yang kembali dikuasai tentera kerajaan Syria.

“Kita semua tahu majalah propaganda Daish iaitu Dabiq boleh dimuat turun menerusi capaian Internet dan medium itu digunakan untuk mempengaruhi orang lain supaya menyertai perjuangan mereka.

AKEL ZAINAL
AKEL ZAINAL

“Akel (Zainal) dan Mohd Rafi (Udin) individu penting dan boleh kita katakan mereka ‘jeneral’ utama untuk sayap Katibah Nusantara iaitu sayap ketenteraan Daish bagi penyokong dari Asia Tenggara,” katanya kepada Harian Metro menerusi temu bual eksklusif di Balai Berita NSTP.

Mohd Mizan berkata, jumlah terkini rakyat Malaysia berada di Syria atau Iraq tidak diketahui secara tepat namun dianggarkan sekitar 100 orang.

Menurutnya, jumlah itu turut membabitkan wanita dan kanak-kanak yang mengikuti perjuangan suami di Syria.

“Kebiasaannya, mereka mengikuti suami. Selepas suami terkorban, mereka tiada jalan lain untuk keluar serta terpaksa tinggal di negara berkenaan.

“Ada juga yang terkorban meninggalkan wasiat pelik seperti mengharamkan isteri atau anaknya pulang ke tanah air. Tidak kurang yang menyuruh balu mereka berkahwin dengan anggota militan lain jika terkorban,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian kes terdahulu, mereka yang menganggotai kumpulan militan ini akan melalui satu ritual khusus iaitu membakar apa saja pengenalan diri serta pasport.

Katanya, keadaan itu menyukarkan lagi rakyat Malaysia yang berbaki di negara itu untuk pulang memandangkan tiada rekod pengenalan diri.

“Saya yakin ramai dalam kalangan mereka sedar dan percaya perjuangan Daish hanya sia-sia. Apa yang diperjuangkan langsung tidak mencerminkan Islam seperti digambarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 7:56 AM