AMELIA bangga mempunyai kerjaya sendiri. FOTO/SURIANIE MOHD HANIF
AMELIA bangga mempunyai kerjaya sendiri. FOTO/SURIANIE MOHD HANIF
Najiy Jefri


BARANGKALI ramai yang masih tertanya-tanya mengenai status sebenar pelakon Amelia Henderson selepas timbul khabar angin mengenai berita perceraiannya dengan DatukTunku Harrunnarasheed Putra Tunku Annuar.

Ketika ditanya mengenai status terbarunya, Amelia tidak menunggu lama untuk menjawab dan berterus terang mengatakan dia kini sudah berpisah.

Bagaimanapun, Amelia enggan berkongsi butiran lanjut mengenai perceraian itu.

“Saya kini solo. Sebagai wanita saya bangga kerana mempunyai kerjaya sendiri. Saya bekerja keras untuk mengecapi sesuatu dalam hidup dan berharap tiada yang akan bertanyakan soalan ini lagi,” katanya.

Menerusi laporan sebuah akhbar tempatan, Amelia memaklumkan dia sudah berpisah tahun ini, namun enggan berkongsi tarikh sebenar mereka membawa haluan masing-masing.

Amelia mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015 selepas satu setengah tahun menjalin hubungan cinta. Perkahwinan yang terlerai itu bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata.

Tutup cerita mengenai kisah peribadi, Amelia kini teruja untuk berkongsi mengenai karier baru yang diceburinya iaitu bidang nyanyian.

Masakan tidak, sebelum ini tular di Internet mengenai kebolehan luar biasa Amelia menyanyikan lagu rap daripada bintang rap terkenal, Eminem.

Video terbabit mendapat lebih satu juta tontonan.

Menurut pelakon drama Jangan Benci Cintaku ini, dia bakal tampil dengan single baru berbahasa Inggeris pada penghujung tahun ini selain bakal tampil dengan sebuah persembahan secara langsung dengan penyanyi rap tempatan.

“Jika tiada aral melintang saya bakal mengeluarkan single baru pada penghujung tahun ini. Saya juga teruja apabila bakal tampil dengan sebuah persembahan dengan seorang penyanyi rap terkenal pada pertengahan bulan depan.

“Tawaran ini adalah satu peluang yang dinanti-nantikan dan saya akui sedikit gemuruh untuk beraksi di pentas yang berskala besar itu nanti,” katanya.

Menurut Amelia, dia sebenarnya sudah lama meminati bidang nyanyian tetapi kurang keyakinan untuk menceburi kerjaya itu.

“Sebenarnya saya sudah lama meminati muzik rap atau hip hop, cuma saya malu dan kurang keyakinan diri. Namun, selepas dipujuk rakan dan pengurus akhirnya saya memuat naik video rap di Instagram.

“Tak sangka pula video itu menjadi tular dan diterima ramai. Sejak itu, saya nekad mencuba nasib dalam bidang nyanyian. Bagaimanapun, karier lakonan tetap menjadi keutamaan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 4:00 AM