MIKHAIL RAIYAN RAZMAN ADAM
MIKHAIL RAIYAN RAZMAN ADAM
Najiy Jefri


SIAPA sangka darah seni yang mengalir dalam diri pendatang baru Mikhail Raiyan Razman Adam, 24, hadir daripada penghibur terkenal tanah air, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Mikhail yang juga cucu saudara pertama Sudirman kini sedaya upaya mengembangkan bakat seni yang dimiliki dan mengintai peluang dalam industri muzik tempatan.

Mikhail yang kini dalam tahun kedua pengajian di International College Music Berklee Boston, Amerika Syarikat dalam jurusan ijazah muzik menyimpan segunung impian untuk mengikut jejak langkah datuk saudaranya itu.

“Sejak sekolah saya minat menyanyi. Ketika berusia 11 tahun, saya pernah membuat persembahan di majlis perkahwinan bapa saudara dan bermula dari situ, ramai yang memberitahu saya memiliki bakat menyanyi.

“Tambahan pula saya dimaklumkan mempunyai darah seni arwah Sudirman dan membuatkan saya mahu meneruskan legasinya.

“Disebabkan itu juga, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik kerana saya ingin mempelajari teknik nyanyian dengan betul sebelum tampil dengan lebih serius nanti,” katanya.

Mengagumi lagu-lagu Sudirman yang menjadi terapi hidupnya, Mikhail berkata, dia antara peminat nombor satu penyanyi lagenda itu walaupun mereka tidak sempat berkenalan.

“Saya tidak pernah mengenali Sudirman kerana dia meninggal dunia ketika usia saya tiga tahun, tapi saya peminat nombor satu beliau. Dia adalah ‘raja’ dalam industri hiburan tempatan.

“Bapa saudara saya, Atai sering menunjukkan video persembahan dan muzik video Sudirman membuatkan saya mengagumi beliau sebagai anak seni yang hebat dan disegani.

“Saya menyimpan impian untuk menjadi hebat sepertinya dan menghiburkan rakyat Malaysia dengan pemilihan lagu yang penuh dengan mesej positif,” katanya yang turut meminati antaranya Yuna, Aziz Harun dan Faizal Tahir.

Mahu menghabiskan pengajian yang masih berbaki setahun setengah, Mikhail berkata, selepas tamat pengajian dia bercadang untuk bergiat lebih aktif dalam bidang muzik selain ingin berada di bawah sebuah syarikat pengurusan.

“Saya bercadang selepas tamat pengajian saya nak bersama dengan sebuah syarikat pengurusan yang boleh menguruskan kerjaya seni saya.

“Namun buat masa ini, saya cuma nak letak diri dalam industri muzik supaya khalayak sedar mengenai kehadiran dan muzik yang saya bawakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mikhail kini tampil dengan single pertama berjudul Gerak Lu yang boleh didengari di stesen radio dan Spotify.

“Walaupun saya lebih mendengar lagu Inggeris, tapi untuk percubaan pertama ini saya keluarkan lagu Bahasa Malaysia dulu kerana pasarannya lebih luas.

“Gerak Lu mengisahkan mengenai pengalaman saya yang berpisah dengan bekas kekasih kerana saya mahu fokus dengan pelajaran.

“Ilham ini datang sekitar Mei lalu dan dilancarkan pada Ogos. Saya juga kini tampil dengan single kedua berjudul Moving Right Along yang sudah dimuat naik di YouTube,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 6:00 AM