GAMBAR fail, Harimau Malaya di Zoo Taiping & Night Safari. FOTO Bernama
GAMBAR fail, Harimau Malaya di Zoo Taiping & Night Safari. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan bilangan Harimau Malaya yang ada di negara ini kurang daripada 150 ekor.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, jumlah itu hasil rekod daripada Survei Harimau Kebangsaan Pertama pada 2016 hingga 2020.

Katanya, usaha bagi konservasi Harimau Malaya juga perlu terus diperkukuhkan sehingga populasinya stabil.

"NRES melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia melaksanakan sembilan tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 bagi tempoh pelaksanaan selama 10 tahun sehingga 2030.

"Ia menerusi tiga pendekatan iaitu mengukuhkan usaha bagi menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya, meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi Harimau Malaya serta memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya," katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) usaha bagi menambah populasi Harimau Malaya dan adakah ia menampakkan hasilnya.

Syerleena turut meminta penjelasan mengenai status semasa jumlah Harimau Malaya yang masih wujud dalam hutan di negara ini.

Mengulas lanjut, Huang berkata, sejak 2019 sehingga April tahun ini di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti, 490 orang pesalah ditangkap dengan jumlah sitaan lebih daripada RM258 juta.

Katanya, aspek perundangan juga telah diperkukuhkan melalui penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 pada 1 Februari tahun lalu.

"Ini termasuk meningkatkan denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun sebagai salah satu pendekatan pencegahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 2:20 PM