ISMA. FOTO Aziah Azmee
ISMA. FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi era 1980-an, Isma Aliff, 60, bersyukur dan gembira apabila dapat berjumpa dengan anak sulungnya, Nor Ismalina ketika sambutan Aidilfitri lalu selepas lebih setahun tidak berjumpa.

Nor Ismalina datang bersama suami dan dua anak mereka.

Bagaimanapun, anak keduanya, Mohd Alif belum lagi menziarahinya kerana dia kini menjaga ibunya, Norha Rafie di Ulu Kinta, Perak.

"Terima kasih, datang jenguk papa dalam keadaan begini dan papa sangat hargainya. Alhamdulillah, yang penting saya dapat jumpa dua cucu.

"Kepada dua anak, Nor Ismalina dan Mohd Alif, papa doakan semoga diberikan kebahagiaan dunia dan akhirat," katanya.

Isma, sudah setahun anak-anak tidak datang menjenguknya.

"Saya sangat gembira apabila anak sulung datang jenguk sebab sudah lama tidak berjumpa dengannya dan dia juga nampak sihat saja.

"Kami tetap berhubung melalui telefon. Sedih jugalah bila anak lama tak datang tengok saya?"

"Sejak dia kahwin (anak sulung) dan saya sakit, kira-kira setahun kami tidak berjumpa. Mungkin dia ada perkara yang tidak dapat dielakkan sebelum ini.

"Cuma Mohd Alif belum datang menjenguk saya lagi sebab dia sekarang menjaga ibunya. Mungkin, kalau ada kelapangan nanti, dia akan datang atau mungkin saya yang akan ke sana (Ulu Kinta) untuk berjumpa dengannya.

"Setakat ini, saya belum berhubung dengannya kerana kalau ada apa-apa urusan, saya akan berhubung terus dengan anak sulung saja," katanya.

Sementara itu, Isma mengakui keadaan kesihatannya juga semakin baik.

Terdahulu, Isma dimasukkan ke Hospital Ampang selepas dikesan mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru hingga ditidurkan pada 15 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 1:46 PM