GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Peniaga buah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merompak empat kotak rokok milik sebuah kedai serbaneka dengan bersenjatakan sebilah parang, Februari lalu.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Aznill Abd Kadim, 35, selepas lelaki itu menukar pengakuan bersalah pada sebutan semula kesnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Aznill didakwa bersama dengan seorang lagi yang masih bebas merompak empat kotak rokok jenama Winston 20's yang bernilai RM63.60 dengan menggunakan sebilah parang.

Kesalahan itu didakwa di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sentul di sini, jam 5.20 pagi pada 28 Februari lalu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 dan Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan untuk berubah ke arah yang lebih baik.

"Saya hendak perbaiki diri dan ingin menjadi anak bertanggungjawab terhadap ibu bapa saya," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 2:04 PM