DAN aka Dan meminati Eminem.
DAN aka Dan meminati Eminem.
JUN Sung Ahn sangat mencintai biola.
JUN Sung Ahn sangat mencintai biola.
JRODTWINS semakin dikenali.
JRODTWINS semakin dikenali.
Oleh Georgie Joseph

Tanpa wujudnya YouTube, empat anak muda ini tidak mungkin dikenali sampai ke tahap sekarang. Medium itu ternyata benar-benar memberi ruang keemasan buat mereka menunjukkan bakat terpendam di mata dunia hinggalah meraih pengikut tersendiri.

Dapat menyelami sendiri sisi perjalanan mereka menjadi sensasi YouTube, terbit rasa bangga terhadap perjuangan keempatnya apalagi menjadi warga Asia di bumi Amerika Syarikat (AS), bukan senang mahu menembusi pasaran di sana.

Itulah yang turut dirasai Jun Sung Ahn, 22, anak jati Korea Selatan di mana baginya YouTube memberi sinar kepada perjuangannya memartabatkan instrumen biola. Selama bertahun-tahun lamanya belajar biola, dia tidak sampai hati menguburkan bakatnya dalam bidang itu.

Kini berpangkalan di New Jersey, bagaimanapun, pemuda yang masih cukup kuat nilai patriotiknya terhadap negara kelahiran, tidak mengehadkan pasarannya apabila kerap juga terbabit dalam acara anjuran pihak Korea Selatan.

Menurutnya, dalam pada cuba meraih peminat dalam konteks lebih antarabangsa, apapun kecintaannya pada muzik K-Pop nampaknya masih mendalam.

“Meskipun saya kini berada Amerika namun tidak pernah saya lupakan muzik tempat kelahiran asal dan sebab itulah kerap juga membuat ‘cover version’ lagu-lagu popular masa kini di sana.

“Bahkan, saya tidak ketinggalan kerap mendapat undangan tampil membuat persembahan dalam acara-acara besar termasuklah K-Con yang diadakan di Los Angeles tahun lalu. Tahun ini, sekali lagi saya akan turut menjayakan acara sama yang dilangsungkan di Jepun pula,” kata pelajar bidang perfileman itu.

JrodTwins selesa bergerak sendiri

Bermula hanya suka-suka, dua beradik kembar Jason dan Justin yang menggelarkan diri mereka JrodTwins pula tidak sangka video-video nyanyi mereka di YouTube akan mendapat sambutan.

Berpangkalan di Seattle, kedua-duanya kini semakin gembira dengan pencapaian mereka selepas hampir tiga tahun berkecimpung dalam nyanyian menerusi medium berkenaan.

Kelebihan mereka tidak lain kerana memilik paras rupa yang menarik dan tidak dianfikan itu antara faktor utama dapat meraih lebih peminat terutamanya golongan wanita.

Mempunyai nilai komersial begitu, tentu sekali selepas ini akan ada pula label rakaman bakal menyambar mereka. Bagaimanapun, menurut Jason, mereka belum terfikir lagi sehingga ke tahap itu.

“Kami masih baru dan sebenarnya cukup selesa dengan perjuangan kami berdiri sendiri kala ini. Lagipun, apabila bergerak sendiri lebih senang dan daripada segi material pun kami boleh tentukan sendiri,” katanya.

Dan sentiasa terbuka

Berbanding bintang YouTube lain yang selesa bergerak sendiri, bagi penyanyi rap Dan Matthews atau lebih popular dengan nama Dan aka Dan, dia tidak menolak jika suatu hari nanti dapat bernaung di mana-mana label.

Sisi kehidupan warga Korea yang bermastautin di Los Angeles ini sememangnya sangat menarik untuk dikongsikan. Menyifatkan ia satu kelebihan buatnya, dia yang membesar sebagai anak angkat sebuah pasangan di AS menjadikan kehidupannya subjek untuk berkarya.

“Saya memilih rap kerana banyak benda yang boleh saya ekspresikan berbanding hanya sekadar menyanyi. Lagipun, saya sendiri pun memang tidak pandai menyanyi.

“Menjadi seorang anak angkat memberikan saya banyak perspektif untuk diceritakan. Menyanyi hip hop pun hakikatnya menggunakan lirik yang banyak dan lebih besar lagi ruang penceritaan itu,” katanya yang sangat mengagumi rapper Eminem.

Berkongsi mengenai masa depan kerjayanya, Dan juga sentiasa terbuka jika suatu hari nanti mendapat perhatian mana-mana label rakaman.

“Saya tidak kisah dan lebih suka kalau nanti ada yang menawar. Saya sudah bersedia,” katanya.

Tiga bintang YouTube terbabit hadir ke Kuala Lumpur baru-baru ini menjayakan acara Reach Out Convention & Celebration 2015 anjuran iM4U yang berlangsung di Hotel Intercontinential, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:10 AM