ANTARA tatu Madonna yang dicacah di seluruh badan Tara Berry. FOTO GWR
ANTARA tatu Madonna yang dicacah di seluruh badan Tara Berry. FOTO GWR
Agensi

Washington: Memiliki 18 tatu Madonna pada badannya melayakkan seorang peminat fanatik artis superstar itu mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness (GWR).

Tara Berry wanita dari Topeka, Kansas, Amerika Syarikat (AS) mendapat pengiktirafan sebagai pemegang rekod tatu terbanyak artis yang sama pada badan (wanita), mengalahkan rekod daripada wanita Britain Nikki Patterson, yang mempunyai 15 tatu penyanyi rap Eminem.

United Press International (UPI) melaporkan, Berry mencacah tatu Madonna pertamanya pada 2016, apabila dia mendengar penyanyi itu sedang mencari peminat bertatu untuk muncul dalam muzik video.

"Kebanyakan tatu dicacah dalam tempoh enam bulan. Saya sudah mempunyai dua tatu potret Madonna apabila saya membaca mengenai orang yang mempunyai gelaran GWR pada masa itu dengan 15 tatu Eminem.

"Pada malam itu saya memutuskan untuk melakukan cacahan bagi mengatasi rekod berkenaan dan artis itu (pembuat tatu) yang bersedia melakukannya," kata Berry kepada GWR.

Imej ikonik Madonna di seluruh tubuh badan Berry adalah manifestasi menjangkau seluruh kerjaya penyanyi itu dan termasuk rekreasi ciuman terkenal antara Madonna dan Britney Spears pada Anugerah Muzik Video MTV 2003.

"Ramai orang bertanya sama ada mereka boleh mengambil gambar dan merakamkan foto tangan saya. Saya gembira untuk membenarkannya," kata Berry.

Dia menganggarkan kos tatu itu berjumlah lebih daripada AS$9,800 (kira-kira RM46,123).

"Saya merayu, meminjam, membuat perjanjian, apa sahaja untuk memastikan proses membuat tatu berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 3:32 PM