AHMAD bersama Rohana bergambar kenangan dengan anak mereka di kediamannya di Kampung Permatang Palas, Benut, Pontian pada Aidilfitri. FOTO Togi Marzuki
AHMAD bersama Rohana bergambar kenangan dengan anak mereka di kediamannya di Kampung Permatang Palas, Benut, Pontian pada Aidilfitri. FOTO Togi Marzuki
Mohd Fahmi Mohd Yusof dan Togi Marzuki


SUAMI suami isteri maut selepas Perodua Kancil dinaiki mereka bertembung dengan treler, dalam kejadian di Parit 1, Api-Api, Pontian, 3.30 petang hari ini.

Mangsa, Ahmad Mohd Noor, 49, dan Rohana Kosnan, 46, maut di lokasi kejadian manakala pemandu treler, Radzi Jaafar, 53, cedera ringan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Abdul Sani Mat Jani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.39 petang.

“Sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota dikerah ke lokasi kejadian dan sejurus tiba, kedua-dua mangsa tersepit dan meninggal dunia.

“Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Sani berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.21 petang.

KEADAAN Perodua Kancil yang remuk selepas bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan di Pontian, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN Perodua Kancil yang remuk selepas bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan di Pontian, hari ini. FOTO Ihsan JBPM

Sementara itu, abang Ahmad, Hussin Mohd Noor, 52, berkata mangsa bersama isterinya dalam perjalanan ke Pejabat Tanah Pontian.

Katanya, pasangan itu mempunyai tiga anak lelaki berusia enam hingga 12 tahun dan kali terakhir dia berjumpa mereka ketika menziarah mereka di rumahnya di Lorong Sulaiman, Kampung Parit Panjang, Pontian, semalam.

“Sehari sebelum kejadian, saya pergi melawat mereka di rumah. Ketika pertemuan itu, mereka kelihatan ceria dan sentiasa tersenyum.

“Saya tidak menyangka ia pertemuan terakhir kami,” katanya.

Hussin berkata, abangnya bekerja sebagai petani dan sentiasa disenangi ahli keluarga termasuk di pihak keluarga isterinya kerana bersifat murah hati walaupun berpendapatan rendah.

Bagi kakak Rohana, Zaiton Kosnan, 54, berkata suami isteri itu adalah pasangan sejoli, malah arwah adiknya itu juga bagaikan 'satu hati berjiwa murni'.

Katanya, dia tidak menyangka pasangan sejoli itu meninggal bersama dalam kemalangan itu.

Difahamkan jenazah pasangan suami isteri itu akan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Permatang Palas, Benut, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 8:29 PM