ANTARA wanita Arab Saudi yang tidak melepaskan peluang untuk memandu selepas kerajaan negara itu memansuhkan larangan memandu terhadap wanita. FOTO Reuters
ANTARA wanita Arab Saudi yang tidak melepaskan peluang untuk memandu selepas kerajaan negara itu memansuhkan larangan memandu terhadap wanita. FOTO Reuters
BERNAMA

PEMANSUHAN larangan memandu terhadap wanita di Arab Saudi yang berkuat kuasa selepas tengah malam Sabtu, menyaksikan golongan tersebut tidak membuang masa memandu kenderaan masing-masing dan mula membanjiri jalan raya di seluruh pelosok negara itu seawal pagi Ahad.

TV Arab Saudi turut menyiarkan secara langsung peristiwa bersejarah menyaksikan 10 wanita Arab Saudi menjadi antara kaum hawa pertama yang memandu kereta mereka di negara itu, hari ini.

Ramai wanita berkata mereka benar-benar mengecapi erti kebebasan hari ini.

Pemansuhan larangan memandu itu adalah susulan pengumuman Raja Salman Abdulaziz Al-Saud pada September lalu.

Menjelang hari bersejarah itu pada Ahad, seorang penyanyi wanita Arab Saudi, Tamtam, yang berpangkalan di Los Angeles, telah menulis sebuah lagu khusus bagi meraikan golongan wanita yang memandu di Arab Saudi.

Lagu itu, yang dirakam menerusi sebuah video bertajuk ‘Drive,’ dan dikeluarkan secara eksklusif kepada portal berita online, Arab News, berkisar tentang penyanyi tersebut yang memandu kereta idaman beliau, Ford Mustang convertible klasik berwarna kuning, bersama rakannya.

Menurut undang-undang, wanita Arab Saudi perlu berusia 18 tahun sebelum layak mendapatkan lesen memandu peribadi, yang terpakai kepada semua jenis kenderaan termasuk motosikal, manakala usia bagi memperoleh lesen memandu awam ialah 20.

Arab News melaporkan bahawa pemansuhan larangan memandu terhadap wanita Arab Saudi adalah kemuncak bagi pencapaian tahun yang dramatik sejak pelantikan Putera Mahkota Mohammed Salman.

Portal berita itu menyebut bahawa permulaan tahun 2018 telah menyaksikan keputusan yang membawa kerajaan Arab Saudi lebih dekat dengan langkah bagi mengakhiri segala bentuk diskriminasi terhadap populasi wanitanya, yang turut menyaksikan kaum hawa dibenarkan menonton perlawanan bola sepak bersama-sama keluarga mereka.

Pada 18 April, satu lagi larangan yang berkuat kuasa selama 35 tahun terhadap panggung wayang dimansuhkan, dengan penayangan sebuah filem keluaran Marvel iaitu "Black Panther."

Menjelang 2020, kira-kira 3 juta wanita dijangka memandu di Arab Saudi, menurut satu laporan yang disusun oleh firma audit PwC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 1:07 PM