WANITA Arab Saudi boleh memandu. FOTO/AFP
WANITA Arab Saudi boleh memandu. FOTO/AFP
AFP

RIYADH: Larangan memandu ke atas golongan wanita Arab Saudi ditamatkan secara rasmi hari ini, satu pembaharuan bersejarah yang dijangka mengaktifkan era baru gerakan sosial.

Penarikan semula larangan itu yang diadakan selepas operasi besar-besaran ke atas aktivis wanita adalah sebahagian daripada usaha Putera Mahkota Mohammed Salman untuk memodenkan negara pengeluar minyak itu.

Ribuan pemandu wanita dijangka menguasai jalan raya sebaik saja larangan berusia lebih sedekad yang dianggap sebagai satu penindasan terhadap wanita itu ditamatkan.

“Ia adalah detik bersejarah untuk semua wanita di Arab Saudi,” kata penyampai televisyen Saudi, Sabika al-Dosari yang terus memandu beberapa minit selepas larangan itu ditamatkan di timur bandar Al-Khobar.

Tindakan berkenaan diramalkan menyuntik transformasi terhadap ramai wanita kerana membantu mereka membebaskan diri dari bergantung kepada pemandu atau saudara lelaki, sekali gus membawa kepada penjimatan wang yang amat besar.

“Masa yang terbuang kerana perlu menunggu ketibaan pemandu sudah berakhir,” kata seorang penuntut jurusan farmasi berusia 21 tahun, Hatoun Dakhil.

“Kami tidak lagi memerlukan lelaki untuk memandu,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi awal bulan ini, buat pertama kali sejak beberapa dekad lalu mula mengeluarkan lesen memandu untuk golongan wanita, termasuk ke atas individu yang membuat keputusan menukar permit memandu antarabangsa mereka kepada lesen memandu negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 8:56 AM