EXO menjadi inspirasi peminat seluruh dunia.
EXO menjadi inspirasi peminat seluruh dunia.
Georgie Joseph


Sejak menakluk dunia dengan muzik dan mencipta legasi tersendiri, kumpulan dari Korea Selatan, EXO berjaya menjadi inspirasi ramai.

Kumpulan yang dianggotai Suho, Baekhyun, Chanyeol, D.O., Kai, Sehun, Xiumin, Lay dan Chen ini memberi impak besar dalam kehidupan peminatnya.

Antaranya, seorang penghidap kanser yang dikenali Joana A Park turut menjadikan EXO sebagai inspirasi utamanya menghasilkan novel.

Setakat ini, Joana, 36, sudah menulis lima novel. Dia menyasarkan dapat menyiapkan sembilan novel.

Setiap novel itu bercerita mengenai setiap anggota kumpulan untuk tujuan kebajikan.

Menurut Joana, dia antara peminat fanatik EXO sejak sekian lama dan cukup terpesona dengan setiap anggotanya.

“Saya adalah antara peminat tua mereka. Saya mula menyukai EXO sejak 2013. Setiap anggota EXO sangat menarik dan berbakat besar. Semua sembilan anggotanya boleh saya jadikan panduan untuk mencipta apa saja watak dalam setiap cerita saya.

“Mereka memberi motivasi dan inspirasi buat saya melakukan yang terbaik,” katanya.

Walaupun menghidap kanser, Joana tidak mahu menulis cerita yang klise mengenai penyakit dihidapinya itu.

Dia berazam untuk menghiburkan peminat EXO lain di seluruh dunia dengan cerita mengenai anggotanya.

Niatnya hanya satu iaitu memberi harapan kepada pesakit kanser sepertinya untuk terus menikmati kehidupan dengan gembira.

Sebuah novelnya berjudul Pink Ribbons yang dilancarkan Februari lalu menceritakan kisah perjuangan seseorang melawan kanser. Buku berkenaan diinspirasikan daripada anggota EXO iaitu Suho.

Pink Ribbons adalah mengenai percintaan antara Myeon yang diambil daripada nama penuh Suho dan Jojo iaitu watak yang mewakili Joana sendiri.

Menurutnya, idea itu tercetus selepas bermimpi dia sedang menjalani pembedahan.

“Saya ada berjumpa doktor untuk pemeriksaan ringkas dan disahkan menghidap penyakit yang saya tidak pernah jangka.

“Saya terus teringat rakan peminat EXO lain dan memutuskan untuk menulis cerita saya sendiri dalam gaya yang lebih menghiburkan,” katanya.

Sementara itu, EXO bakal kembali beraksi di Malaysia menerusi konsert EXO PLANET #4 The E?yXiOn pada 7 Julai depan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur anjuran Star Planet.

Tiket berharga RM748, RM688, RM588, RM468, RM348 dan RM228 boleh dibeli menerusi laman web www.myticket.asia atau menghubungi talian 03-92233667 dan 03-80766700.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 10:03 AM