KUMPULAN EXO
KUMPULAN EXO
Oleh Georgie Joseph


SEJAK mengumumkan bakal muncul dengan album baru berjudul Obsession awal bulan ini, peminat tegar kumpulan EXO nampaknya sudah tidak sabar lagi.

Sememangnya kemunculan semula kumpulan tersohor itu menjadi bualan hangat di media sosial.

EXO yang dianggotai Suho, Xiumin, Baekhyun, Chen, Chanyeol, D.O, Kai, Sehun dan Lay turut memuat naik sedutan konsep album keenam mereka itu di Internet.

Video berdurasi satu minit itu menggambarkan kumpulan terbabit bakal menjadi fenomena semula. Karisma setiap anggota cukup menyerlah dalam video berkenaan.

Sebagaimana mereka dikenali sebelum ini, unsur fantastik sentiasa menjadi titik fokus kumpulan itu terutama menerusi video muzik. Di akhir video sedutan itu, Sehun menunjukkan aksi sedia lepaskan anak panah berapi diringi frasa ‘Let the fight begin’.

Video itu mendapat perkongsian luar biasa di Twitter dengan menggunakan tanda pagar We are one EXO. Slogan itu diiktiraf EXO selepas sekian lama digunakan peminat.

Obsession adalah buah tangan terbaru EXO selepas Don’t Mess Up My Tempo yang dihasilkan pada November tahun lalu. Album itu berjaya menduduki tangga ke-23 carta Billboard.

Bagaimanapun, album itu cuma menampilkan enam anggotanya iaitu Suho, Chen, Chanyeol, Sehun, Baekhyun dan Kai. Xiumin dan D.O. ketika ini sedang menjalani khidmat ketenteraan manakala Lay fokus mengukuhkan karier solonya di China.

Sempena kemunculan semula itu EXO mempersiapkan diri dengan konsert siri jelajah bagi mengubat kerinduan peminat. Dan, ia akan menjadi platform mereka untuk memperkenalkan album terbaru itu.

Tidak ketinggalan, EXO bakal berkunjung semula ke Malaysia menjayakan EXO Planet #5 - EXplOration in Kuala Lumpur 2019 pada 14 Disember, jam 6 petang, di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ia adalah konsert keempat mereka di sini selepas berkunjung buat kali pertama pada 2016.

Tiket konsert itu yang berharga RM798 (bebas berdiri), RM738, RM598, RM488, RM368 dan RM248 sudah mula dijual sejak 11 November lalu menerusi web www.myticket.asia.

Dianjurkan Star Planet Malaysia, maklumat tiket juga boleh didapati menerusi www.starplanet.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 5:00 AM