SAZALI Samad. FOTO Hasriyasyah Sabudin
SAZALI Samad. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad menegaskan tujuannya bertanding di Shanghai, China adalah atas dasar jemputan pihak penganjur selain berhasrat mengembangkan akademinya.

Jelasnya, pemergiannya untuk bertanding juga adalah terbuka dan tidak melalui mana-mana persatuan sukan.

“Saya pergi bertanding atas jemputan penganjur, pertandingan adalah terbuka dan tidak melalui mana-mana persatuan sukan.

“Rayuan juga sudah dilakukan banyak kali dan ditolak. Jadi buat masa ini saya bergerak secara bebas dan tidak mewakili mana-mana persatuan sukan dalam dan luar negara.

“Pertandingan yang disertai pun adalah melalui jemputan penganjur yang menganjurkan pertandingan dari syarikat sendiri. Ia juga bertujuan untuk mengenali syarikat kecergasan di luar negara serta mengembangkan akademi,” kata Sazali ketika dihubungi, semalam.

MUHD Asmawi Zolkifli (dua kiri) ditemani jaguh bina badan negara, Sazali  (kiri)  dinobatkan juara  Kejohanan Bina Badan Mr Putrajaya 2018 di Galaxy Ampang Mall, April lalu. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
MUHD Asmawi Zolkifli (dua kiri) ditemani jaguh bina badan negara, Sazali (kiri) dinobatkan juara Kejohanan Bina Badan Mr Putrajaya 2018 di Galaxy Ampang Mall, April lalu. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Terdahulu, Sazali memenangi pingat emas kategori 75kg pada kejohanan China Sport Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini dan menduduki tangga kedua bagi kategori terbuka di Shanghai, minggu lalu.

Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) menggantung Sazali selama empat tahun selepas didapati gagal dalam ujian doping yang dijalankan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September 2015.

Hukuman itu berkuat kuasa 22 September 2015 dan tamat tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 6:31 AM