PBBM panggil Sazali untuk mendengar hujah. FOTO/FAIL
PBBM panggil Sazali untuk mendengar hujah. FOTO/FAIL
Mohd Khairie Khalid

 

SAZALI Samad perlu bersedia dengan segala hujah dan alasan kukuh bagi mempertahankan diri apabila Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) dijadual memanggilnya memberi keterangan esok.

Ia dijangka bermula pada sebelah pagi di Kompleks Sukan Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi - tempat sama ketika Sazali berurusan atas kesalahan penggunaan bahan terlarang, tiga tahun lalu.

Jawatankuasa Disiplin PBBM akan meminta Mr Universe 10 kali itu memberi penjelasan berhubung penyertaannya pada kejohanan China Sport Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai, baru-baru ini.

“Kita akan memanggil Sazali dan bertanyakan mengenai pertandingan disertainya, siapa yang anjurkan, menjadi penaja dan segala perkara yang berkaitan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PBBM, Datuk Dr Ahmad Badrus Othman.

“Perbincangan akan dibuat mengenai perkara itu. Segala perkara yang akan dilakukan perlu mengikut peraturan dan undang-undang.”

Menurut Badrus, pihaknya akan memberikan kerjasama terhadap apa jua keputusan yang akan ditentukan kelak.

Mengulas lanjut, Badrus yang juga Timbalan Presiden PBBM menjelaskan Sazali yang masih dalam tempoh penggantungan empat tahun tidak boleh menyertai sebarang aktiviti bina badan sehingga tempoh itu tamat.

Namun Sazali sebelum ini menjelaskan tujuannya bertanding di Shanghai adalah atas dasar jemputan pihak penganjur selain berhasrat mengembangkan akademi serta tidak melalui mana-mana persatuan sukan.

Pada kejohanan itu, Sazali memenangi emas kategori 75 kilogram (kg) dan menduduki tempat kedua kategori terbuka.

PBBM menggantung Sazali selama empat tahun gara-gara gagal dalam ujian doping dikendalikan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September 2015. Hukuman itu berkuat kuasa pada 22 September 2015 sehingga 2019.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 2:04 PM