NAZRIEF Nazrie. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
NAZRIEF Nazrie. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Amirul Haswendy Ashari


Jika lakonan Bella Dally sebagai gadis bisu bernama Nailufar dalam drama Makmum Yang Paling Aku Cinta mendapat pujian penonton, Nazrief Nazrie yang membawa watak Syed Amru, suami Nailufar juga tidak kurang hebatnya.

Drama hit saluran Hypp TV ini memaparkan kisah Syed Amru jatuh cinta dan berkahwin secara rahsia dengan Nailufar yang sepatutnya menjadi isteri kedua bapanya, Syed Kassim.

“Pelbagai konflik berlaku antaranya calon isteri pilihan ibu Syed Amru mati dibunuh dan Syed Amru dituduh sebagai pembunuh,” kata Nazrief.

Kepelbagaian konflik dan permainan watak membuatkan Nazrief sangat teruja dan bersyukur.

Katanya, biarpun pernah tampil sebagai hero sebelum ini, watak itu tidak seberat karakter Syed Amru.

“Ini pengalaman pertama saya dapat watak sebegini dan menjayakan drama bersiri yang panjang. Saya suka Syed Amru kerana perlu banyak bermain dengan emosi.

“Antara cabaran perlu saya lalui adalah menjadi suami kepada wanita bisu yang mana kami berkomunikasi dengan menulis di atas kertas dan telefon bimbit.

“Untuk mencipta sisi romantik juga agak sukar sebab Bella sudah tetapkan tidak mahu bersentuhan, maka saya kena kerja lebih untuk membangkitkan ‘mood’ itu dengan kaedah berbeza,” katanya menghormati kehendak Bella.

Jejaka asal Seremban ini berkata, bagi memastikan lakonan nampak natural, dia lebihkan bahasa tubuh serta permainan mata.

Malah, babak bersalaman juga terpaksa menggunakan teknik kamera agar nampak asli.

Cuma sesekali, dia perlu melakonkan babak bersentuhan, tetapi berlapik terutama pada babak yang membabitkan watak Nailufar sedang meracau.

Nazrief mengakui selain tidak dapat melakonkan watak suami isteri dengan selesa, dia juga berdepan cabaran dalam aspek lakonan lain.

“Banyak juga babak sukar, salah satunya selepas Syed Amru kemalangan dan lama tidak berhubung dengan isterinya.

“Perbualan telefon antara Syed Amru dan Nailufar hanya berpandukan bunyi saja dan saya bercakap seorang diri tanpa maklum balas komunikasi suara,” katanya.

Malah, babak apabila bapanya, Syed Kassim meninggal dunia juga ada cabaran tersendiri kerana dilakukan pada jam 2 pagi.

Dalam pada itu, Nazrief memuji komitmen Bella tatkala melontarkan emosi masing-masing.

“Kami pernah bekerjasama dalam telefilem Permaisuri Syurga untuk RTM tahun lalu, tetapi tidak rapat. Pun begitu, kami sentiasa serius beri ‘que’ kerana mahukan yang terbaik.

“Tidak macam pelakon lain, apabila diminta beri ‘que’, selalunya mereka main-main. Saya tak nak jadi begitu,” kata Nazrief lagi.

NAZRIEF Nazrie. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
NAZRIEF Nazrie. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Sedia lamar kekasih

Tanpa berselindung, jejaka berusia 27 tahun ini sudah bersedia melamar kekasih hatinya, Aizatul Aqma, 24, apabila tiba masanya.

“Niat nak kahwin itu sudah ada, cuma belum rasmi lagi. Harap akan ada usaha ke arah itu, tambahan pula usia saya sudah 27 tahun.

“Kami berkawan selama setahun dan saya terbuka mengenai hubungan kami,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan mendirikan rumah tangga, Nazrief berkata, dia belum berbincang secara serius perkara itu, tetapi jika tiada aral akan melamar tahun depan.

“Ada desas-desus kononnya kami sudah bertunang pada Mac lalu. Hakikatnya, belum ada rombongan meminang kerana kami masih dalam proses mengenali hati budi. Mac lalu, genaplah setahun kami berkenalan dan dia ada keistimewaan tersendiri yang buat saya tertawan.

“Saya suka dengan sikapnya yang manja selain handal di dapur,” kata jejaka ini memuji kekasih hatinya yang juga model Muslimah.

Sebagai anak tunggal, Nazrief akui sikap manja menjadi sebab mereka serasi bersama.

Perkembangan lain, dia bakal muncul dalam slot Akasia TV3 menerusi drama Bukan Cinta Kristal arahan Suhaimie Zulkiflie selain sebuah lagi drama untuk slot Iris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 3:51 AM