KHARTINA menerima sijil penghargaan pada Majlis Penghargaan Buat KKM  di Hospital Serdang, Selangor, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
KHARTINA menerima sijil penghargaan pada Majlis Penghargaan Buat KKM di Hospital Serdang, Selangor, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Hasbi Sidek


“KERJA macam kami ini, senang buat pahala, senang dapat dosa," kata Khartina Khalid, 42, jururawat Hospital Langkawi, Kedah, yang videonya tular, baru-baru ini selepas dirakam lelaki yang mendakwa tidak berpuas hati dengan khidmat diberikan kakitangan hospital itu.

Khartina berkata, tugas dan tanggungjawab sebagai jururawat seperti dirinya memberi banyak tekanan kerana membabitkan soal nyawa manusia.

“Kami perlu mengawal keadaan di dalam (pesakit yang sedang dirawat) dan pada masa sama perlu menghadapi orang awam yang datang.

“Saya faham sekiranya suami kepada wanita itu tertekan, namun kami lebih tertekan kerana perlu mengawal kedua-dua situasi," katanya yang cukup kecewa dengan tindakan lelaki berkenaan merakam serta menyebarkan klip video itu di laman sosial.

Khartina antara empat kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menerima penghargaan daripada Safety 1st dalam Majlis Penghargaan Buat KKM di Hospital Serdang, Selangor, hari ini.

Jururawat berkenaan, sebelum ini juga pernah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak empat kali.

Anak jati Padang Besar, Perlis itu turut meminta orang awam supaya lebih memahami dan menghargai kerja serta pengorbanan kakitangan hospital.

Malah, Khartina turut menujukan anugerah yang diterima khas kepada semua jururawat di seluruh Malaysia.

Akhbar NSTP pada 2 April lalu melaporkan jururawat Hospital Langkawi itu 'diserang' dan dikasari kerana didakwa tidak memberi layanan sepatutnya kepada pesakit wanita yang mahu membuat pemeriksaan.

Lebih memburukkan keadaan apabila kejadian itu menjadi tular di laman sosial Facebook hingga menyebabkan pengurusan hospital terbabit dikecam netizen.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menggelarkan semua kakitangan KKM adalah wira yang tak didendang kerana sentiasa berusaha memberi khidmat terbaik tanpa mengharap anugerah, pingat atau pangkat.

“Namun apabila ada pihak yang memberikan penghargaan, ia sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepada petugas KKM yang bertungkus-lumus memberikan yang terbaik buat pesakit dan masyarakat," katanya.

Safety 1st adalah sebuah kumpulan tidak rasmi yang menghimpunkan individu daripada beberapa jabatan kerajaan dan syarikat swasta termasuk dari luar negara yang memberi fokus terhadap keselamatan dan kesihatan.

Ia ditubuhkan selepas kejadian kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor dan kumpulan itu ditadbir oleh Samad Rahim selaku Prinsipal Administrator.

Berita berkaitan

Nafi ibu mengandung tak dilayan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 6:59 PM