PETIKAN rakaman video insiden seorang jururawat bermain telefon bimbit ketika memberi bantuan pernafasan kepada pesakit tular di media sosial.
PETIKAN rakaman video insiden seorang jururawat bermain telefon bimbit ketika memberi bantuan pernafasan kepada pesakit tular di media sosial.
Izlaily Nurul Ain Hussein


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Johor menjalankan siasatan mendalan berhubung insiden jururawat yang memberi bantuan pernafasan kepada pesakit sambil melihat telefon bimbit.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Selahuddeen Abd Aziz mengesahkan video yang tular di media sosial memaparkan insiden itu berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru membabitkan jururawat wanita terlatih.

“JKN memandang serius insiden ini dan siasatan mendalam kini sedang dijalankan. Ahli Jawatankuasa Penyiasatan yang terdiri daripada pakar dan penyelia jururawat dari HSA dan JKN sudah memulakan siasatan.

“Sekiranya terdapat sebarang unsur kecuaian hasil daripada penyiasatan, maka kakitangan yang terbabit akan dikenakan tindakan tegas,” katanya menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook (FB) JKN Johor, hari ini.

Video berdurasi 27 saat itu tular di media sosial sejak semalam memaparkan seorang pesakit lelaki sedang menggunakan alat bantuan pernafasan dikendalikan seorang jururawat wanita di sisi katilnya.

Bagaimanapun, jururawat itu dilihat sedang bermain telefon bimbit ketika prosedur itu dijalankan.

Dr Selahuddeen berkata, JKN dan HSA sudah bertemu waris pesakit bagi mendapatkan gambaran terperinci dan turut memberi penjelasan serta berbincang mengenai perkara berkenaan.

“HSA sememangnya mempunyai tata cara pengendalian pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan sambil menunggu untuk dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Arahan penambahbaikan serta-merta juga sudah dikeluarkan kepada HSA serta peringatan kepada lain-lain hospital bagi memastikan kepatuhan terhadap tata cara pengendalian pesakit adalah dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah kawasan larangan untuk mengambil gambar dan video terutama gambar dan video pesakit di dalam wad atau klinik kerana melanggari etika dan kerahsiaan pesakit.

“Mereka yang mempunyai aduan atau cadangan sila hubungi secara terus pihak hospital atau klinik berkenaan.

“JKN Johor komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan cakna terhadap sebarang aduan atau cadangan yang dikemukakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 5:24 PM