KOLONEL Dr Shamsul Bahary Muhamad menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang jururawat yang akan menamatkan penugasan di hospital itu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
KOLONEL Dr Shamsul Bahary Muhamad menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang jururawat yang akan menamatkan penugasan di hospital itu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Menangguhkan majlis perkahwinan dan berjauhan dengan keluarga antara pengorbanan jururawat yang bertugas sebagai barisan hadapan ketika pandemik Covid-19.

Mereka bukan sahaja berkorban masa, tenaga dan perasaan, malah mengenepikan kepentingan peribadi apabila terpaksa berjauhan meninggalkan anak, isteri atau suami serta insan tersayang demi tugas.

Itu antara situasi yang dilalui Siti Hawa Jaafar, 33, jururawat di Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) di Kompleks Sukan Tawau yang terpaksa menangguhkan majlis nikah yang sepatutnya diadakan penghujung bulan ini.

Bagaimanapun, dia dan tunang, Mohd Zamer Mohd Akhir, 30, yang juga rakan setugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah sanggup berkorban demi tugas kepada negara.

"Perancangan awal majlis nikah sepatutnya diadakan penghujung bulan ini, namun terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan selepas saya dihantar bertugas di sini pada awal November lalu.

"Namun, saya tetap rasa bertuah kerana dapat menabur bakti selain memperoleh pengalaman baharu bersama pasukan petugas kesihatan ATM," katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Kepada Petugas Mobilisasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 18 jururawat KKM yang akan menamatkan penugasan di HMATM menerima sijil penghargaan masing-masing daripada Komander HMATM, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad yang turut dihadiri Pengarah Hospital Tawau, Dr Azman Ibrahim.

Bagi Hazim Johari, 27, yang akan kembali bertugas di Hospital Kulim, Kedah, berkata, walaupun terpaksa berjauhan selama sebulan dengan isteri dan anak berusia 18 bulan, dia tetap bersemangat memikul tugas yang di amanahkan.

"Bagi menghilangkan perasaan rindu, saya akan membuat panggilan video selain bertanya khabar isteri dan anak," katanya.

Sementara itu Dr Shamsul berkata, sejak beroperasi hampir dua bulan, lebih 1,100 pesakit bukan Covid-19 menerima rawatan di hospital berkenaan.

Hospital Medan yang terletak kira-kira 5.8 kilometer dari Hospital Tawau itu dibina dengan kerjasama KKM dan ATM bertujuan untuk menyokong Hospital Tawau bagi merawat kes bukan Covid-19 dan mempunyai kapasiti wad pesakit dalam pelbagai disiplin.

"Mewakili Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) kami amat berbesar hati dan merakamkan penghargaan atas segala sumbangan bakti yang diberikan petugas KKM dalam menjayakan operasi di HMATM ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 4:19 PM