MOHAMAD Hafiz menggunting rambut pelanggan di Bampishh Barbershop di USM Pulau Pinang.
MOHAMAD Hafiz menggunting rambut pelanggan di Bampishh Barbershop di USM Pulau Pinang.
Siti Khairunnisa Mohamad Nayan


KEGIGIHAN penuntut universiti awam, Mohamad Hafiz Zakaria, 24, untuk menjalankan perniagaan membuahkan hasil apabila dia berjaya memiliki kedai gunting rambut sendiri.

Berbekalkan modal RM30, penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Halus Lakonan dan Pengarahan di Universiti Sains Malaysia (USM) itu mampu menjana pendapatan hampir RM10,000 sebulan.

Hasil pendapatan dikecapi membuatkan dia dipilih bertanding pada Pertandingan Ikon Usahawan antara semua universiti di Malaysia pada bulan ini dan keputusannya akan diketahui Mac ini.

“Sebelum melangkah ke universiti, saya memang berazam menyediakan servis menggunting rambut kepada pelajar. Jadi, semasa semester satu pada 2014, saya beranikan diri untuk membuat servis gunting rambut di hadapan bilik saya dengan harga RM5 seorang.

“Ketika itu, fikiran saya masih tertutup dengan cara perniagaan sebenar, tetapi saya mencuba juga. Setiap kali berjumpa pelajar lelaki, saya akan memberitahu mereka mengenai servis ini.

“Pada masa itu, saya ketepikan perasaan malu walaupun sesetengah pelajar seolah-olah memandang sinis terhadap usaha saya.

“Untuk memulakan perniagaan, saya membeli mesin rambut, gunting dan sikat di pasar malam dengan harga RM30.

“Saya sedapkan hati jika perancangan ini gagal, alatan yang dibeli itu boleh digunakan saya sendiri.

“Pada mulanya kehadiran pelanggan ke bilik agak suram. Jadi, saya mengambil keputusan membuat servis menggunting rambut dari bilik ke bilik.

“Saya mengetuk semua pintu bilik di asrama lelaki. Tidak semua orang suka dengan tindakan saya itu kerana dianggap mengganggu waktu rehat mereka. Namun saya gagahkan untuk teruskan semua ini,” katanya.

Menurutnya, nasibnya berubah pada semester ketiga apabila dia menggunting rambut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM Mohamad Shafiq Kamaruddin.

“Mohamad Shafiq menawarkan saya sebuah kedai dalam USM untuk dijadikan sebagai kedai gunting rambut.

“Sejak itu, saya memiliki kedai sendiri yang dinamakan Bampishh Barbershop.

“Rakan banyak membantu mempromosikan kedai ini. Sokongan mereka dan keluarga membuatkan saya lebih yakin untuk lebih maju dalam bidang ini.

“Sambutan pelanggan memang baik menyebabkan kedai saya semakin dikenali ramai. Saya mula belajar gaya potongan rambut mengikut trend di YouTube untuk menjaga kepuasan pelanggan.

“Namun bukan mudah untuk menjadi ahli perniagaan dan pelajar pada masa sama. Pada awalnya, saya sendiri agak kalut untuk menguruskan masa sendiri.

“Kadangkala saya terpaksa menutup kedai selama seminggu kerana sibuk dengan tugasan dan kelas.

“Saya kemudian mengambil keputusan mengambil pekerja kerana saya mempunyai masa untuk bergilir-gilir bekerja dengan dia. Saya akui pengurusan masa sangat penting dalam perniagaan supaya semuanya berjalan seiring,” katanya.

Hafiz berkata, berbekalkan keuntungan diperoleh, dia mula berniaga menggunakan media sosial dengan menjual seluar jean dan beg tangan.

“Saya turut menjadi stokis untuk produk kosmetik. Berniaga memberi keseronokan dan kepuasan kepada saya kerana dapat capai apa yang diidamkan,” katanya yang mengakui perjalanan sebagai ahli perniagaan ada pasang surutnya.

Menurutnya, majoriti pelajar sekarang sudah bijak menjana pendapatan sendiri.

“Ada yang menjual produk orang lain dan ada membuka perniagaan sendiri.

“Namun apa saja bidang kita ceburi, jangan mudah berputus asa,” katanya yang akan membuka satu lagi cawangan Bampishh Barbershop di Seri Iskandar, Perak, Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 11:32 PM