KEDAI gunting rambut Edd The Barber mendapat perhatian remaja kerana menampilkan tukang gunting yang muda dan berpengalaman.
KEDAI gunting rambut Edd The Barber mendapat perhatian remaja kerana menampilkan tukang gunting yang muda dan berpengalaman.
MOHD AZIZ HAIME atau Cheeszy, memotong gaya potongan rambut ‘smart cut’.
MOHD AZIZ HAIME atau Cheeszy, memotong gaya potongan rambut ‘smart cut’.
POTONGAN ‘pampadour’ sering mendapat perhatian ramai kerana gayanya yang klasik dan kemas.
POTONGAN ‘pampadour’ sering mendapat perhatian ramai kerana gayanya yang klasik dan kemas.
PELANGGAN boleh memilih pelbagai gaya potongan atau ‘barber’ mencadangkan kepada mereka.
PELANGGAN boleh memilih pelbagai gaya potongan atau ‘barber’ mencadangkan kepada mereka.
SUASANA kedai yang santai dan selesa buakn saja menggamit minat anak muda malah semua peringkat umur.
SUASANA kedai yang santai dan selesa buakn saja menggamit minat anak muda malah semua peringkat umur.
MASWADI (tengah) bersama (dari kiri) Muhammad Habibullah, Mohd Aziz, Mohd Zuhairy dan Mansor Asyraf.
MASWADI (tengah) bersama (dari kiri) Muhammad Habibullah, Mohd Aziz, Mohd Zuhairy dan Mansor Asyraf.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Kerjaya sebagai tukang gunting rambut pada masa kini kian mendapat tempat dalam kalangan anak muda kerana ia bukan saja menampilkan kemahiran malah turut memberi pendapatan lumayan buat mereka yang menceburinya.

Kerjaya yang memerlukan kemahiran itu memerlukan kecekapan memotong, merapi, mencukur, membuang rambut, janggut dan misai.

Tukang gunting dipercayai antara kerja yang tertua kerana ia sudah bermula sejak zaman prasejarah .

Orang terpenting pada zaman itu juga terdiri daripada tukang gunting rambut selain tukang ubat atau doktor.

Berbeza dengan konsep salun, kedai gunting tradisional lebih santai, mudah, cepat dan dikhaskan kepada lelaki untuk merapikan diri serta wajah mereka.

Khidmat menggunting rambut di kedai kebiasaannya lebih murah berbanding di salun dan tidak dinafikan golongan muda lebih selesa memotong rambut di situ.

Menurut pemilik Edd The Barber, Maswadi Rakion, 29, dia mendapat inspirasi membuka kedai gunting rambut kerana minat dengan gaya potongan rambut lelaki yang pelbagai dan tidak hanya tertumpu pada satu gaya saja.

“Sama seperti potongan rambut wanita yang ada bermacam gaya, potongan rambut lelaki juga menawarkan ba­nyak gaya berbeza untuk dipilih dan boleh pilih ikut yang bersesuaian dengan gaya, personaliti serta bentuk muka,” katanya.

Maswadi berkata, bidang kedai gunting rambut juga tidak banyak dipelopori golongan muda dan dengan membawa tukang gunting rambut yang muda di kedainya, dia berharap pandangan orang ramai terutama generasi baru terhadap kedai gunting rambut berbeza.

Maswasi ketika ditemui di kedai gunting rambutnya di Dataran Palma, Ampang berkata, kedai gunting tradisional kebiasaannya memberi servis pantas dan murah mungkin kerana potongan diberikan ringkas.

“Jika kita pergi ke kedai gunting biasa mereka memberi potongan mudah dan ada tidak mengikut pilihan pelanggan kerana tak mengikut trend terkini.

“Lelaki sekarang terutama golongan muda lebih gemar merapikan diri dan memotong rambut dengan gaya trend terkini seperti ‘pampadour’, ‘smart cut’ dan ‘under cut’,” katanya.

Apa yang menarik perhatian penulis, tukang gunting rambut di Edd The Barber itu sendiri terdiri daripada golongan anak muda berpengalaman dan pakar.

“Tukang gunting rambut biasanya terdiri daripada orang tua atau dewasa dan tidak ramai anak muda menjadikannya sebagai tempat untuk mempamer bakat mereka.

“Jadi saya menampilkan mereka untuk menarik lebih ramai anak muda memilih servis potong rambut di kedai saya iaitu lokasi khas untuk lelaki memotong rambut,” kata Maswadi.

Maswadi berkata, keempat-empat tukang gunting di kedainya Mohd Zuhairy Abdullah, 26; Mohd Aziz Haime, 24; Mansor Asyraf, 19, dan Muhammad Habibullah Mohd Fadzil, 19, terdiri daripada golongan muda atau gen y sendiri.

Menurut Mohd Aziz atau lebih dikenali sebagai Cheeszy, dia berminat menceburkan diri dalam bidang itu kerana ada kemahiran dalam bidang dandanan rambut.

“Saya bermula dengan dandanan dan setelah mempunyai asas potong rambut jadi saya lebih berani mencuba gaya potongan rambut lelaki mengikut trend semasa.

“Apa yang penting dalam bidang ini kita perlu minat kerana minat itu yang mendorong untuk pergi lebih jauh dan hilangkan rasa penat,” katanya.

Berbeza pula dengan Muhammad Habibullah, minat dalam bidang berkenaan bermula apabila dia cuba membetulkan rambut rakannya sendiri.

“Rambut kawan tersalah potong jadi saya akan cuba baiki dan daripada situ minat saya datang lalu terus ingin mencuba serta belajar teknik memotong rambut ini.

“Saya juga mendapat sokongan daripada keluarga jadi itu lebih memberi semangat untuk buktikan kepada semua bahawa kerjaya sebagai tukang gunting rambut ini kerjaya yang bagus,” katanya.

Menurut Maswadi, Edd The Barber dalam perancangan membuka akademi khas untuk lepasan SPM yang berminat untuk menjadi tukang gunting rambut.

“Mereka bakal diberi tunjuk ajar dan teknik potongan mengikut standard kami dan akan diberi peluang bekerja di salah satu cawangan kami,” katanya.

Edd The Barber menawarkan pelbagai jenis potongan mengikut gaya terkini dan kehendak pelanggan untuk semua peringkat umur dan maklumat lanjut boleh layari laman Facebook Edd The Barber Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 9:43 AM