MOHD Rosli (kanan) melihat Shahrul Ikhwan memotong rambut pelanggannya, disertai Shahrul Nizam Azahar, 18, (kiri). FOTO/ Mohamad Zulhairie Manzaidi
MOHD Rosli (kanan) melihat Shahrul Ikhwan memotong rambut pelanggannya, disertai Shahrul Nizam Azahar, 18, (kiri). FOTO/ Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi

SETIAP kali menggunting rambut warga emas dan orang kurang upaya (OKU), seorang tukang gunting rambut di Kubang Kerian, Kota Bharu hanya meminta bayaran dalam bentuk doa.

Mohd Rosli Awang Noh, 36, melakukan begitu kerana enggan membebankan pelanggan istimewanya, malah percaya keikhlasannya akan dibalas Allah SWT dalam pelbagai bentuk.

Dia yang mengusahakan kedai The Jangot's Barbershop berkata, hanya itu sedekah yang dapat dilakukannya walaupun ada pelanggan yang segan apabila diberi perkhidmatan percuma.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima daripada golongan terbabit cukup baik, cuma warga emas sedikit malu ke sini mungkin kerana fikir tempat saya ini hanya untuk orang muda (berdasarkan hiasan dalaman kedai).

“Lagi pula, warga emas yang ke sini tetap menghulurkan wang kerana mereka segan jika tidak bayar sedangkan saya ikhlas memotong rambut mereka, bukan sebab bayaran.

“Saya anggap ini sedekah saya untuk mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.

Untuk pelanggan lain, perkhidmatannya ditawarkan bermula RM15 hingga RM90 untuk pakej keseluruhan, malah premis itu turut menyediakan rawatan muka buat lelaki.

Katanya, kesukaran mencari kedai gunting rambut di Kelantan yang menyediakan khidmat sedemikian kecuali di salun kecantikan, menjadi faktor dia menawarkannya untuk lelaki yang gemar menjaga penampilan diri.

“Kami ada pekerja yang berkemahiran dan pelanggan digalakkan membuat temu janji terlebih dulu kerana setiap sesi memakan masa sejam atau lebih,” katanya yang memberitahu ‘Jangot’ digunakan sempena dialek Kelantan yang bermaksud melaram.

Selain itu, The Jangot's Barbershop turut menerima pelajar yang mahu belajar teknik menggunting rambut dan sehingga kini, dia sudah mengajar 10 pelajar berusia 16 dan 17 tahun.

Mohd Rosli berkata, daripada jumlah itu, lima pelajar mudah mempelajari teknik berkenaan sehingga menjadikannya pendapatan sampingan.

Antara pelajarnya ialah Shahrul Ikhwan Mat Yazid, 17, yang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu, Perak.

Dia mula belajar menggunting rambut di kedai itu tahun lalu dan kini menjadikan kemahirannya sebagai sumber pendapatan sampingan di sekolahnya.

“Ketika cuti hujung tahun, saya belajar di sini lebih sebulan sehingga mahir dan kini saya menjadikannya kerja sambilan di sekolah. Saya fokus pada pelajaran dulu, dan menggunting rambut sebagai pendapatan sampingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 5:56 PM