AHMAD Ismail. FOTO Luqman Hakim Zubir
AHMAD Ismail. FOTO Luqman Hakim Zubir
Haika Khazi

Kuala Lumpur: Datuk Seri Ahmad Ismail menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan selaku Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam sesi pemilihan badan induk itu yang bakal diadakan selewat-lewatnya, 30 Jun depan.

Berikutan itu, Ahmad menegaskan beliau akan terus menduduki kerusi panas berkenaan selagi khidmatnya diperlukan ahli gabungan dan persatuan sepak takraw negeri.

Ahmad juga mendakwa, beliau mendapat sokongan padu majoriti ahli gabungan PSM kecuali tiga negeri (iaitu Selangor, Perlis dan Terengganu) yang tidak sebulu dengannya atas sebab tertentu.

“Saya lihat kebanyakan persatuan sepak takraw negeri dan ahli gabungan masih memberikan sokongan padu kepada saya dengan menghantar surat terus kepada PSM.

“Malah, semua persatuan sepak takraw negeri dan ahli gabungan PSM juga sebulat suara dalam menyuarakan pandangan mengenai isu pengguguran acara sepak takraw dari Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 baru-baru ini,” katanya ketika temui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dipengerusikan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail di Bukit Jalil semalam.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau sedia mempertahankan jawatan selaku Presiden PSM yang dipegangnya sejak 2002 jika dicabar individu lain termasuk Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran yang lantang mengkritik kepemimpinan sebelum ini terutama selepas sepak takraw digugurkan dari Program Sukan Teras MSN dan salah satu acara SUKMA 2018.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad menegaskan pihaknya juga tidak bercadang meminda perlembagaan PSM yang menggariskan badan induk sukan sepak takraw terbabit boleh menangguhkan AGM hingga 18 bulan mulai tarikh terakhir mesyuarat sebelumnya.

“Kita tidak akan mengurangkan tempoh penangguhan sehingga 18 bulan tetapi sebaliknya mungkin memanjangkan hingga 24 bulan atau dua tahun. Kalau semua perwakilan dan ahli gabungan bersetuju kenapa pula kita tidak boleh tangguh sehingga 24 bulan. Itu masalah merekalah.

“Saya pun pelik kenapa kebanyakan individu berkenaan tidak setuju dan menentang penangguhan AGM sehingga 18 bulan, biarpun mereka sebenarnya terbabit secara langsung dengan penggubalan perlembagaan PSM pada 2006,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya juga akan memastikan tarikh AGM PSM tidak bertindih dengan hari penamaan calon dan mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 4:39 AM