ZAITON OTHMAN
ZAITON OTHMAN
Haika Khazi


PEJABAT Pesuruhjaya Sukan (PJS) masih belum menerima permohonan rasmi daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menangguhkan mesyuarat agung (AGM) bagi memilih pemimpin tertinggi badan induk sukan sepak takraw negara sehingga 18 bulan mulai Oktober lalu.

Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman, ketika dihubungi mengesahkan bahawa sehingga kini PJS belum menerima sebarang surat permohonan rasmi daripada PSM untuk menangguhkan AGMnya.

“Saya boleh sahkan bahawa sehingga kini PJS belum menerima sebarang surat permohonan untuk menangguhkan AGM daripada PSM,” katanya dalam jawapan ringkas ketika dihubungi pemberita sebentar tadi.

Sebelum ini, media melaporkan PSM perlu dapat kelulusan PJS jika mereka serius mahu menangguhkan mesyuarat agung (AGM) bagi memilih pemimpin tertinggi badan induk sukan sepak takraw negara sehingga 18 bulan.

Malah, Zaiton dalam kenyataannya sebelum ini dipetik sebagai berkata PSM boleh memohon penangguhan AGMnya dengan syarat mereka perlu memberikan justifikasi dan sebab munasabah kenapa mereka mahu menangguhkan mesyuarat terbabit.

Bagaimanapun, Zaiton berkata pihaknya boleh menolak permohonan penangguhan sekiranya mendapati ia bertentangan dengan amalan baik.

“Setakat yang saya tahu belum terima, saya perlu semak dulu. Setiap badan sukan mempunyai tarikh AGM yang berbeza, ada yang sebelum 31 Mac, sebelum 30 November sebagai contoh.

“Setiap Badan sukan ada Perlembagaan masing-masing yang berbeza. Jadi kalau sesuatu badan sukan nak buat AGM, kena ada cukup tempoh untuk memanggil mereka untuk adakan AGM, misalnya ada 21 hari, 45 hari dan ada yang 14 hari.

“Begitu juga dengan penangguhan, mesti dapat persetujuan ahli gabungan dan punya tempoh yang cukup. Bagaimanapun, 18 bulan adalah bersamaan dengan setahun enam bulan adalah suatu tempoh sangat lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 12:42 AM