ZAITON menjelaskan PSM perlu mendapat persetujuan PJS untuk menangguhkan AGM.
ZAITON menjelaskan PSM perlu mendapat persetujuan PJS untuk menangguhkan AGM.
Haika Khazi


PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) perlu mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) jika mereka benar-benar serius mahu menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi memilih pemimpin tertinggi badan induk sukan itu.

Pesuruhajaya Sukan Datuk Zaiton Othman, berkata PSM boleh memohon penangguhan AGM itu dengan syarat mereka perlu memberikan justifikasi dan alasan munasabah kenapa mereka mahu menangguhkan mesyuarat terbabit.

Bagaimanapun, Zaiton berkata PJS boleh menolak permohonan penangguhan sekiranya mendapati ia bertentangan dengan amalan baik (good practices).

“Setakat yang saya tahu sehingga kini PSM belum menghantar sebarang permohonan penangguhan. Setiap badan sukan mempunyai tarikh AGM yang berbeza, ada yang sebelum 31 Mac dan sebelum 30 November, sebagai contoh.

“Setiap badan sukan ada perlembagaan masing-masing yang berbeza dari satu sama lain. Jadi kalau sesuatu badan sukan nak buat AGM, kena ada cukup tempoh untuk memanggil mereka untuk mengadakannya, misalnya 14, 21 atau ada yang 45 hari.

“Begitu juga dengan penangguhan, mesti mendapat persetujuan ahli gabungan dan mempunyai tempoh mencukupi. Bagaimanapun, 18 bulan adalah bersamaan dengan setahun enam bulan adalah suatu tempoh sangat lama,” katanya merujuk kepada AGM yang sepatutnya berlangsung Oktober lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaiton berkata beliau tidak menolak kemungkinan PSM tidak hantar permohonan untuk penangguhan kerana mereka merujuk kepada perlembangan mereka yang menyatakan AGM perlu diadakan setiap tahun tetapi tidak melebihi 18 bulan dari tarikh akhir AGM diadakan.

“Kali terakhir PSM mengadakan AGM adalah adalah pada 31 Disember 2016 dan pemilihan yang terakhir adalah pada 13 September 2014 dengan perlembangan pemilihan adalah setiap tiga tahun. Jadi mengikut perkiraan tempoh tiga tahun adalah pada 13 September 2017,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan banyak pihak mendesak PSM mempercepatkan tarikh AGM bagi memilih pucuk pimpinan baharu susulan pelbagai masalah yang melanda sukan tradisi itu sejak kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran, dipetik sebagai berkata beliau pelik dengan tindakan pengurusan tertinggi PSM yang masih mahu menangguhkan AGM berkenaan biarpun tempoh mandat sebenar mereka sudah tamat September lalu.

Sementara itu, Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail, dalam kenyataan berasingan meminta semua ahli gabungan melupakan seketika soal siapa mahu merebut jawatan tertinggi dalam AGM badan induk itu nanti.

Berikutan itu Ahmad meminta semua ahli gabungan dapat duduk semeja dengan PSM bagi memastikan sukan sepak takraw terus maju dan berkembang biarpun dikeluarkan dari program sukan teras oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sekali gus tidak dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 5:29 PM