MARKIMAN KOBIRAN
MARKIMAN KOBIRAN
Haika Khazi

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) disaran melakukan pindaan terhadap perlembagaannya bagi memastikan badan induk sukan sepak takraw terbabit kekal relevan dan mampu memenuhi aspirasi ahli gabungannya di peringkat akar umbi.

Antara pindaan yang perlu dilakukan ialah had tempoh penangguhan mesyuarat agung tahunan (AGM) sehingga 18 bulan yang dianggap terlalu lama dan tidak masuk akal oleh sesetengah pihak.

Justeru, semua perwakilan dan ahli gabungan PSM patut menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang menghadiri AGM yang bakal diadakan selewat-lewatnya pada 30 Jun depan bagi membahaskan dan meminda perlembagaan badan induk sukan sepak takraw terbabit.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran, ketika dihubungi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap cadangan supaya pindaan perlembagaan PSM bagi menghadkan tempoh penangguhan AGM badan induk itu.

“Pindaan perlembagaan penting bagi membolehkan AGM dan pemilihan pucuk pimpinan baharu diadakan secepat mungkin selepas tempoh mandat ahli jawatankuasa (AJK) sedia ada tamat.

“Tindakan ini perlu bagi memastikan PSM kekal relevan dan memenuhi kehendak ahli gabungannya yang mahu melihat ada perubahan kepemimpinan berlaku dalam badan induk sukan sepak takraw kebangsaan nanti,” katanya.

Markiman juga sedia menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden PSM jika mendapat sokongan ahli gabungan bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Ismail yang disifatkan sudah terlalu lama menerajui badan induk sukan sepak takraw terbabit.

Difahamkan, kali terakhir PSM mengadakan AGM ialah pada 31 Disember 2016 dan boleh ditangguh sehingga 18 bulan selepas kali terakhir ia diadakan.

AGM kali ini dijangka menjadi tumpuan kerana ia turut membabitkan pemilihan barisan kepimpinan tertinggi PSM selepas tempoh mereka selama tiga tahun berakhir pada September 2017.

PSM yang diterajui Ahmad sejak tahun 2002 didesak supaya mempercepatkan tarikh AGM bagi memilih pucuk pimpinan baharu susulan pelbagai masalah melanda sukan tradisi itu sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) membenarkan PSM menangguhkan mesyuarat AGM sehingga 30 Jun 2018.

Terdahulu, Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mengesahkan PSM sudah mengemukakan permohonan menangguhkan AGM kerana pelbagai alasan termasuk sibuk dengan Sukan SEA dan Liga Sepak Takraw 2017 yang baru selesai bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 1:44 PM