Haika Khazi


SEMUA ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) perlu berhenti bertelagah sesama sendiri berhubung isu pengguguran sepak takraw daripada senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN).

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail (gambar), berkata mereka sepatutnya memberi sepenuh perhatian terhadap usaha mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya

sukan itu kekal tiada dalam senarai bermula Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.

Dalam masa sama, beliau berkata cadangan PSM mahu menangguhkan mesyuarat agung sehingga 18 bulan tidak wajar diperbesarkan lagi kerana ia tidak menyalahi perlembagaan badan induk itu.

Katanya, semua pihak termasuk individu yang mahu bertanding mana-mana jawatan dalam pemilihan badan induk itu supaya tidak cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan bertindak melaga-lagakan PSM dengan 18 ahli gabungannya.

“Pada saya soal cadangan kita untuk menangguhkan mesyuarat agung sehingga 18 bulan tidak wajar dibangkitkan kerana ia memang tidak melanggar perlembagaan PSM.

“Justeru, saya berharap semua pihak termasuk media berhenti menyiarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Fokus PSM dan ahli gabungan sekarang ialah mencari jalan penyelesaian terbaik jika MSN tetap dengan keputusan menggugurkan sepak takraw daripada program sukan teras dan tidak dipertandingkan SUKMA 2018 nanti,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran menggesa PSM mempercepatkan tarikh mesyuarat agung bagi memilih pucuk pimpinan baharu susulan pelbagai masalah melanda sukan tradisi itu.

Markiman yang sedia menggantikan Ahmad dipetik berkata beliau pelik dengan tindakan pengurusan tertinggi PSM yang masih mahu menangguhkan mesyuarat berkenaan biarpun tempoh mandat sebenar mereka sudah tamat September lalu.

Dalam pada itu, Ahmad mengesahkan pihaknya sudah menghantar surat jemputan kepada semua ahli gabungan dan Pengarah MSN negeri untuk meminta mereka menghadiri mesyuarat khas di ibu pejabat PSM pada Sabtu ini, bermula jam 8 malam.

“Saya berharap semua ahli gabungan PSM dan MSN negeri dapat menghadiri mesyuarat khas berkenaan bagi membolehkan kita mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 12:23 PM