DATUK Ahmad Ismail (tengah) masih kekal Presdien PSM ketika ini. Foto fail
DATUK Ahmad Ismail (tengah) masih kekal Presdien PSM ketika ini. Foto fail
Haika Khazi

[email protected].m

PEJABAT Pesuruhjaya Sukan (PPS) membenarkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menangguhkan mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk sukan sepak takraw sehingga 30 Jun 2018.

Menurut Sumber, PPS berbuat demikian selepas meneliti surat permohonan dihantar oleh PSM dan alasan diberikan PSM untuk meminta penangguhan AGMnya.

“Saya difahamkan PPS sudah bersetuju memberi kebenaran kepada PSM untuk menangguhkan AGM bagi memilih barisan kepemimpinan baharu badan induk sukan sepak takraw berkenaan sehingga akhir bulan Jun.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad dan pengumuman rasmi mengenainya hanya akan dibuat selepas PJS mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa teknikal dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini isu PSM yang berhasrat menangguhkan AGMnya sehingga 18 bulan kerana dikatakan tidak menyalahi peraturan dan perlembagaan badan induk sukan sepak takraw Malaysia berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan PSM terbabit mengundang pelbagai reaksi kalangan peminat dan ahli gabungannya sendiri yang menyifatkan penangguhan tempoh 18 bulan terlalu lama dan tidak masuk akal.

Arena sepak takraw negara baru-baru ini dilanda pelbagai masalah dan kontroversi termasuk digugurkan daripada program sukan teras di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), sekali gus menyebabkan ia tidak dipertandingkan di Sukan Malaysia 2018 (SUKMA).

Sebelum ini, Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mengesahkan PSM sudah mengemukakan permohonan menangguhkan AGM kerana pelbagai alasan termasuk sibuk dengan Sukan SEA dan Kejohanan Sepak Takraw League (STL) 2017 yang baru selesai bulan lalu.

Difahamkan, kali terakhir PSM mengadakan AGM pada 31 Disember 2017 dan mengikut perlembagaan mereka yang membolehkan ia ditangguh sehingga 18 bulan selepas kali terakhir ia diadakan.

AGM kali ini dijangka menjadi tumpuan kerana ia turut membabitkan pemilihan barisan kepimpinan tertinggi PSM selepas tempoh mereka selama tiga tahun berakhir pada September 2017.

PSM diterajui Datuk Seri Ahmad Ismail sejak 2002 dilihat mendapat tekanan banyak pihak yang tampil mendesak supaya mempercepatkan tarikh AGM bagi memilih pucuk pimpinan baharu susulan pelbagai masalah melanda sukan tradisi itu sejak kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 11:42 PM