SEBAHAGIAN daripada udang harimau yang sedia untuk dijual kepada pemborong. FOTO Ihsan Mohamad Hafiz Ghaza.
SEBAHAGIAN daripada udang harimau yang sedia untuk dijual kepada pemborong. FOTO Ihsan Mohamad Hafiz Ghaza.
Helmy Abd Rahman

Marang: Penghujung tahun biasanya bukanlah masa yang ideal untuk golongan nelayan ke laut kerana ombak bergelora disebabkan musim tengkujuh namun bagi yang mengkhusus dalam penangkapan udang harimau, ia saat yang dinantikan.

Ini kerana setiap Disember hingga Februari adalah musim spesies udang itu banyak di laut.

Pemborong udang harimau, Mohd Hafiz Ghaza, 29, berkata, perairan Marang sememangnya terkenal dengan udang harimau yang segar kerana spesies udang berkenaan gemar bermain di kawasan pantai daerah itu.

“Memang sejak dulu pemborong atau pelanggan terdiri daripada restoran makanan laut di negara ini dan negara jiran tahu mengenai kualiti serta kesegaran udang harimau Marang.

“Berbanding tempat lain, udang harimau di daerah ini amat segar kerana biasanya nelayan pergi dan pulang dari laut pada hari sama, sebab itu harga udang harimau Marang di pasaran lebih tinggi,” katanya kepada Harian Metro.

Baru-baru ini, catatan mengenai musim udang harimau yang dimuat naik Mohd Hafiz di Facebook tular selepas dikongsi laman sosial popular.

“Ramai yang salah sangka selepas melihat gambar lambakan udang harimau yang saya muat naik itu. Sebenarnya jumlah yang banyak itu selepas ia dikumpul daripada 10 bot.

“Tidak putus-putus yang mengirim mesej peribadi untuk membeli udang harimau dengan saya tapi sebagai pemborong saya tak boleh tunaikan permintaan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 6:34 AM