RONALD Kiandee (kiri) dan Ketua Pengarah LKIM Othman Abdul Latiff menunjukkan udang harimau  yang dituai. FOTO Bernama.
RONALD Kiandee (kiri) dan Ketua Pengarah LKIM Othman Abdul Latiff menunjukkan udang harimau yang dituai. FOTO Bernama.
Nazri Abu Bakar


KEJAYAAN Persatuan Nelayan Negeri Melaka memperkasa bidang penternakan akuakultur boleh dijadikan contoh berikutan keupayaannya menjadi antara pengeluar terbesar udang harimau di negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia boleh dijadikan contoh kepada negeri lain kerana bidang itu kini antara penyumbang makanan laut terpenting.

"Saya melihat pengeluaran udang harimau di Melaka antara projek yang sangat berjaya kerana ia bukan sahaja membabitkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tetapi kerjasama baik dari persatuan nelayan negeri ini.

"Semuanya hasil daripada pengurusan yang cekap dan perancangan teliti sekali gus mampu menjadi panduan kepada negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Penternakan Udang Harimau di Kampung Sebatu, Melaka, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Sementara itu, Ronald berkata, setakat ini terdapat tujuh projek penternakan akuakultur di Malaysia, dengan yang terbesar di Sarawak.

Menurutnya, kebanyakan produk akuakultur kini, lebih tertumpu kepada pasaran tempatan, namun pihaknya turut bercadang untuk mengeksport produk itu ke luar negara pada masa depan.

Projek udang harimau di Kampung Sebatu yang merangkumi tiga fasa dilaksanakan sejak 1996 adalah inisiatif LKIM menerusi kerjasama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat); Persatuan Nelayan Negeri Melaka dan Persatuan Nelayan Kawasan di Kampung Sebatu, Mukim Sebatu.

Jumlah keseluruhan pengeluaran udang di Projek Ternakan Udang LKIM untuk Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 pada tahun 2018 hingga Jun lalu adalah 221,598 kg bernilai RM6.86 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 5:39 PM