Beny menunjukkan keli Afrika seberat lima kilogram dipancingnya dekat Sungai Dua. FOTO Zulfa Mohamad
Beny menunjukkan keli Afrika seberat lima kilogram dipancingnya dekat Sungai Dua. FOTO Zulfa Mohamad
Zulfa Mohamad


KELI Afrika dengan berat sehingga lima kilogram seekor menjadi ancaman utama spesis udang galah di Sungai Prai terutama sekitar Sungai Dua yang menjadi tumpuan kaki pancing.

Kewujudan keli Afrika itu turut menyebabkan populariti Sungai Dua sebagai lokasi memancing udang galah merosot berbanding 10 tahun lalu.

Difahamkan, kehadiran keli Afrika di sungai berkenaan kerana ia dilepaskan pihak tertentu sehingga menyebabkan hidupan sungai terutama udang galah terancam.

Pemancing, Beny Kurniawan, 26, berkata, dia sudah empat kali mendapat keli Afrika bersaiz gergasi ketika memancing dekat jeti nelayan Sungai Dua.

Katanya, dia turut terkejut kerana saiz keli berkenaan agak besar berbanding dipancingnya sebelum ini.

“Keli Afrika menyambar umpan cengkerik selepas sejam menunggu. Hasilnya berbaloi tetapi kehadiran ikan berkenaan mengancam spesis udang galah," katanya.

Masalah ancaman keli Afrika pernah dibangkitkan nelayan sungai sebelum ini termasuk nelayan Kampung Chegar, Pangkalan Machang dan Air Hitam Dalam kerana ia memakan anak udang galah sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Nelayan yang enggan dikenali berkata, keli Afrika bukan saja memakan anak udang malah turut mengancam benih udang dan ikan sungai yang dilepaskan Jabatan Perikanan.

“Walaupun pelepasan keli Afrika makin berkurangan namun, spesis udang galah tidak lagi seperti dulu malah, ada nelayan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk mencari rezeki termasuk membuat rokok daun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 3:50 PM